Artikel Khas

Tutup kes Adib: Apa kaitan Zuraida, rakyat nak tahu pendirian pihak berkuasa!

Sepatutnya Peguam Negara atau Ketua Polis Negara yang keluarkan kenyataan

Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) melahirkan rasa kesal dengan kenyataan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin yang menyatakan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim ditutup sementara dan akan dibuka semula jika terdapat bukti baharu.

2. Kenyataan beliau ini boleh menimbulkan keraguan kerana:

I. Kenyataan ini tidak wajar dikeluarkan oleh menteri yang tidak berkaitan dengan pelaksanaan undang-undang jenayah, tetapi seharusnya Peguam Negara atau Ketua Polis Negara yang mengeluarkan kenyataan berkaitan dengan pendakwaan dan siasatan jenayah.
II. Jika kes ditutup bagaimana bukti baharu akan diperolehi?
III. Adalah tidak masuk akal apabila kes ini ditutup, setelah ramai saksi dan pakar-pakar yang tampil memberikan kenyataan.
IV. Adakah beliau merasakan kes Adib ini tidak penting kerana arwah hanyalah seorang penjawat awam biasa?
V. Bagaimana pula dengan pendirian rasmi pihak berkuasa?

3. ISMA sebagai salah satu NGO yang bersungguh-sungguh daripada awal untuk sama-sama membela kematian arwah Adib sekali lagi merasa kecewa dan marah dengan kenyataan menteri yang cuba untuk menutup kes ini.

4. ISMA juga yakin, bukan sahaja ahli keluarga, malahan rakyat juga turut marah dan kecewa dengan perkara ini. Sedangkan keputusan Mahkamah Koroner pada 27 September 2019 memutuskan punca kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

5. Justeru ISMA menggesa pihak berkuasa untuk menggiatkan lagi usaha bagi mencari bukti-bukti baharu bagi membawa pembunuh Muhammad Adib ke muka pengadilan kerana dalam undang-undang jenayah tiada had batasan waktu ditetapkan bagi memulakan prosiding jenayah terhadap mana-mana pihak.

6. ISMA juga ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk terus memberikan tumpuan kepada kes arwah Muhammad Adib sebagai satu desakan kepada pihak berkuasa dan kerajaan untuk meneruskan kes ini sehingga pesalah ditemui, kerana ianya melibatkan keadilan buat seorang penjawat awam.

Dr Haji Ahmad Kamsani Samingan
Timbalan Presiden ISMA
30 September 2021

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button