Berita UtamaDunia

UNGA: Afghanistan kesal PBB tak iktiraf pentadbiran Taliban

Perbincangan dilencongkan kepada dua topik kecil, pendidikan wanita dan pekerjaan

KABUL, 12 Rabiulawal 1445H, Khamis – Taliban melahirkan rasa kecewa dengan Mesyuarat Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 di New York yang tidak mengiktiraf pentadbiran sementara dan menarik semula sekatan yang berlaku di Afghanistan.

Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid berkata, tekanan politik dan paksaan masih berkuat kuasa.

“Kumpulan mementingkan diri ini masih berperang dengan Afghanistan dan menahan PBB melakukan yang terbaik kepada negara ini,” kata Majlis Keselamatan PBB kelmarin, yang disampaikan oleh Duta Khas PBB untuk Afghanistan.

Bagaimanapun, Taliban, yang menganggap pentadbirannya sebagai Emiriah Islam Afghanistan kesal kerana perbincangan berkenaan telah dilencongkan dengan hanya membangkitkan dua topik kecil dan domestik seperti pendidikan wanita dan bidang pekerjaan untuk golongan tersebut.

“Sedangkan di Afghanistan, pelbagai isu besar wajar diutamakan keselamatan, pengampunan am, keamanan dan kestabilan, pembangunan ekonomi, pembentukan pasukan keselamatan.

“Begitu juga dengan peruntukan bajet daripada hasil dalaman, melanjutkan pendidikan di seluruh negara selain puluhan perkembangan lain belum dibincangkan,” kata Mujahid dalam kenyataan.

Sejak Taliban mengambil alih pentadbiran pada Ogos 2021, kira-kira AS$7 bilion rizab asing telah disekat oleh Amerika Syarikat (AS).

Pada mesyuarat PBB lalu, Taliban telah menamakan jurucakapnya, Suhail Shaheen, sebagai anggota tetap Afghanistan kepada PBB.

Namun, badan dunia itu masih belum menerima pencalonan tersebut kerana Taliban sehingga kini tidak diiktiraf oleh negara anggota PBB.

“Rakyat Afghanistan mempercayai pemimpin mereka yang memberi keutamaan kepada agama dan kepentingan negara.

“Selain telah berjuang bertahun-tahun untuk mencapai matlamat besar ini dan bersedia untuk melindungi mereka,” katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button