Berita Utama

BERJASA syor wujudkan Tabung Waqaf Perniagaan Bumiputera

Jadikan dasar ekuiti Bumiputera lebih inklusif, tidak hanya kayakan kroni

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 23 Safar 1443H, Khamis – Ketua Penerangan BERJASA, Hazwan Mohamad berpandangan, dasar ekuiti Bumiputera mesti disekalikan dengan polisi  membantu Bumiputera yang lain kerana mampu memberi kesan positif lebih menyeluruh. 

Bagi menjayakan tujuan itu, beliau mencadangkan penubuhan Tabung Waqaf Perniagaan Bumiputera (Bumiputra Endowment Business Fund) dan diselia di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Melalui tabung berkenaan, satu polisi perlu digubal untuk mewajibkan Melayu Bumiputera yang sudah mendapat manfaat meletakkan sumbangan dana yang akan digunakan untuk membantu Melayu dan Bumiputera lain membuka perniagaan berimpak tinggi. 

“Tabung ini memfokuskan dana kepada orang Melayu dan Bumiputera yang layak dan berkemahuan untuk menceburi perniagaan berimpak tinggi.

“Antaranya bidang teknologi, industri ketenteraan, perkhidmatan, pembinaan dan pembuatan dan sebagainya sehingga disenaraikan di papan Bursa Malaysia,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, Hazwan berkata, tabung ini akan memberi pinjaman perniagaan tanpa faedah, tetapi dengan syarat mesti mengembalikan semula bantuan yang diberikan dalam tempoh beberapa tahun.

Paling penting, mereka kemudian melakukan perkara yang sama iaitu meletakkan lebihan dana tambahan untuk kegunaan dan faedah lain.

“Dasar dan polisi ini akan mampu menghasilkan lebih ramai orang Melayu dan Bumiputera yang berdaya saing seterusnya membantu meningkatkan ekuiti Bumiputera.

“Melalui polisi ini, ia akan menjadikan dasar ekuiti Bumiputera sebagai sebuah dasar yang inklusif dan tidak hanya mengkayakan kroni atau mengkayakan orang Melayu dan Bumiputera yang sedia ada kaya,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemilikan ekuiti korporat Bumiputera masih belum mencapai sasaran yang ditetapkan, iaitu sekurang-kurangnya 30 peratus pegangan dalam sektor berkenaan.

Beliau menjelaskan bahawa status pemilikan ekuiti sektor korporat berasaskan nilai pasaran tahun 2019 menunjukkan pegangan ekuiti Bumiputera hanya mencapai 17.2 peratus.

Justeru, beliau menyatakan bahawa kerajaan akan memperkenalkan kerangka jaringan keselamatan ekuiti bagi memastikan penjualan saham atau syarikat Bumiputera hanya ditawarkan dan dijualkan kepada konsortium, syarikat atau individu Bumiputera yang lain.

Bagaimanapun, ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, rancangan tersebut akan menguntungkan tuan politik serta ‘kroni’ dan bukannya orang miskin.

Justeru, Anwar mempertikaikan apakah inisiatif pemberdayaan Bumiputera dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang akan membantu golongan yang memerlukan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button