Berita Utama

JAWI benar solat Jumaat, fardu ikut kapasiti masjid dan surau

Aktiviti pengimarahan dibenarkan namun tertakluk pada SOP

BANGI, 23 Safar 1443H, Khamis – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) membuat ketetapan baharu berhubung had jemaah solat Jumaat, solat fardu dan aktiviti pengimarahan di masjid dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan.

Semua ketetapan baharu itu telah diperkenan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan akan berkuat kuasa 1 Oktober di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan – selaras dengan perkembangan terkini Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, kehadiran jemaah dibenarkan mengikut kapasiti sebenar masjid dan surau dengan penjarakan 1.5 meter bagi semua aktiviti solat Jumaat, solat fardu dan solat berjemaah yang lain.

“Semua masjid dan surau dibenarkan untuk melaksanakan aktiviti pengimarahan seperti kuliah Maghrib, kuliah Subuh, kuliah Dhuha, kuliah Zohor, tazkirah sebelum solat Jumaat dan tadarus al-Quran.

“Selain itu, kuliah muslimat, bacaan Yasin, tahlil, program zikir munajat dan doa tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mengharapkan umat Islam khususnya di seluruh Wilayah Persekutuan terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan dan memanfaatkan peluang itu untuk mengimarahkan masjid dan surau serta bermunajat dan berdoa agar penularan wabak COVID-19 segera berakhir.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button