Berita UtamaDunia

Jordan buka pintu sempadan dengan Syria

Usaha tingkatkan pertukaran perdagangan antara kedua negara

DAMSYIK, 23 Safar 1443H, Khamis – Jordan membuka semula pintu sempadan utamanya dengan Syria sebagai langkah meningkatkan ekonomi negara yang berdepan krisis.

Ia juga sebagai usaha menguatkan lagi desakan kepada negara-negara Arab untuk bergabung semula dengan Syria selepas menghindari negara bergolak itu selama perang saudara.

Trak Syria menanti untuk memasuki Jordan di pintu sempadan Jaber dan teksi yang membawa penumpang berbaris untuk melalui kawalan kastam dan Imigresen.

“Keadaan keselamatan sekarang stabil di pihak Syria dan kami berharap ia tetap stabil,” kata Ketua Lintasan Jaber, Kolonel Moayad Al Zubi kepada Reuters.

Lintasan Jaber pernah dibuka semula pada 2018 selepas kerajaan Syria mengusir pemberontak dari selatan.

Bagaimanapun pandemik COVID-19 menyebabkan langkah sekatan dikenakan bagi membendung penularan virus.

Syria – yang menyalahkan sekatan Barat susulan masalah ekonomi negara itu – berharap hubungan perniagaan yang lebih luas dengan negara jiran di selatan akan membantunya pulih daripada perang sedekad.

“Tujuan kesefahaman ini untuk meningkatkan pertukaran perdagangan antara kedua negara bagi mencapai kepentingan setiap pihak,” kata Menteri Perdagangan dan Industri, Yordania Maha Al Ali kepada televisyen Al Mamlaka.

Jordan dan Syria berharap perdagangan bersama akan kembali ke tahap AS$1 bilion (RM4.18 bilion) sebelum perang.

Pegawai Jordan berkata, delegasi perdagangan yang berkunjung dari Syria – dipimpin oleh menteri ekonomi, perdagangan, pertanian, air dan elektrik, akan membincangkan mengenai penghapusan tarif.

Ahli perniagaan dari Jordan sebahagian besarnya menghindari berurusan dengan Syria selepas Akta Caesar AS 2019 mengenakan sekatan keras yang melarang syarikat asing berdagang dengan Damsyik.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button