Pendapat

Memindahkan Universiti Malaya hanya menguntungkan kapitalis

Apabila pemimpin gagal menilai falsafah dan makna universiti, dengan mengaitkan perkiraan untung rugi

SAYA jadi makin hairan, apa kaitan dan rasional penentangan judi nombor ekor dengan minta UM dipindahkan?

Apakah salah universiti berada di tengah bandar? Benarkah merugikan?

Benarkah universiti sepatutnya berada di luar bandar atau kawasan kampung untuk memajukan kawasan tersebut? Perlukah dimajukan semua kampung pedalaman?

Apabila semua kampung sudah berubah wajah menjadi bandar nanti, apakah UM perlu pindah ke awan?

Semua universiti di Singapura dalam bandar, kenapa tidak cadangkan pindah ke tengah laut?

Kenapa kita perjudikan ilmu dengan nilai ekonomi?

Tidakkah dengan ilmu itu yang menjana kekayaan?

Akan adakah lagi cadangan selepas ini minta UPNM, UPM, UTM KL, UKM, UIA dan lain-lain yang berada di kawasan segi tiga emas dan Lembah Klang, dipindahkan ke kawasan yang lebih kampung bagi menjana ekonomi?

Apakah akan ada cadangan nanti untuk memindah universiti di kawasan segi tiga emas ke kawasan Orang Asli bagi memajukan kawasan tersebut?

Bagaimana pula dengan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (KUTAR), kepunyaan MCA di tengah bandar Kuala Lumpur (dekat Setapak)? Kenapa tidak suruh pindah? Kenapa hanya target UM? Berani cadangkan di Parlimen?

Selicik-licik ultra kiasu, belum kedengaran lagi mereka suruh USM berpindah daripada tengah bandar Pulau Pinang. Kenapa? Kerana ultra kiasu tahu nilai ilmu dan ekonomi?

Tidakkah kita belajar daripada kesilapan melepaskan tanah strategik keselamatan negara iaitu lapangan terbang tentera udara Malaysia (TUDM), Sg Besi, Kuala Lumpur untuk projek Bandar Malaysia? Siapakah yang mendapat keuntungan kalau bukan kapitalis? Kalau tidak silap 60 peratus pegangannya adalah konsortium negara komunis?

Ketika itu kita berfikir tidak ada keperluan TUDM berada di dalam bandar? Apakah benar? Sedangkan di situ nadi strategik keselamatan negara?

Begitu juga Kem Tentera Sg Besi di mana terletaknya UPNM, sudah lama kedengaran untuk dipindah kerana tidak menjana ekonomi. Inilah pemikiran pandir dan bebal yang perlu dibenteras.

Pada mereka, kem tentera dan pusat latihannya, institusi pengajian tinggi seperti universiti awam perlu berada di luar bandar untuk dijadikan bandar.

Saya tidak kata cadangan ditolak sepenuhnya, boleh sahaja buka cawangan UM dan universiti awam lain di luar bandar, tetapi bukan memindahkan kampus yang sedia ada di tengah kerana atas alasan ia merugikan ekonomi negara?

Sedar atau tidak bahawa universiti awam dan universiti swasta di negara kita sudah lebih daripada mencukupi dengan keperluan penduduk dan saiz negara ini. Tidakkah kita membuat kajian?

Lambakan graduan menganggur dan lantikan kontrak pegawai perubatan hari ini adalah merupakan salah satu tempias dan bahananya.

Nasihat saya, apabila mengeluarkan kata-kata di Parlimen, fikir dahulu. Jangan cuba untuk berlagak pandai, walhal hakikat sebenarnya tidak. Buatlah kajian terlebih dahulu. Rujuk pakar kalau kurang maklumat. Jangan cakap semborono.

Memaksa memindahkan universiti awam dalam kawasan bandar ke kawasan ceruk pedalaman hanya menguntungkan kapitalis (ultra kiasu), bukan menguntungkan negara.

Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button