Berita Utama

PAU dijadual diadakan pada Januari 2022

Tiada pemilihan jawatan kerana ROS bersetuju tangguh Pemilihan Parti UMNO sehingga 29 Disember 2022

KUALA LUMPUR, 23 Safar 1443H, Khamis – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 dijadual berlangsung selama tiga hari bermula 13 hingga 15 Januari 2022. 

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam kenyataan media, hari ini berkata, keputusan dibuat dalam mesyuarat yang dilaksanakan semalam dengan dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Manakala, persidangan bagi peringkat cawangan akan diadakan pada 15 Oktober hingga 30 November ini. 

Katanya, mesyuarat perwakilan Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO bahagian akan diadakan serentak di seluruh negara bermula 11 hingga 12 Disember 2021, manakala mesyuarat perwakilan UMNO bahagian bermula 18 Disember 2021. 

Bagaimanapun, semua mesyuarat tidak diadakan pemilihan jawatan kerana Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) telah bersetuju mengenai penangguhan Pemilihan Parti UMNO sehingga 29 Disember 2022.

“Mesyuarat boleh diadakan secara bersemuka atau maya atau gabungan bersemuka dan maya mengikut situasi COVID-19 di kawasan masing-masing.  

“Kehadiran mesyuarat adalah dengan korum minimum satu perempat daripada jumlah yang layak hadir atau lebih daripada kadar tersebut asalkan mengikut SOP (prosedur operasi standard) yang dibenarkan mengikut kawasan masing-masing,” katanya.

RoS sebelum ini memutuskan keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada 7 Julai lalu untuk menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan adalah tidak sah berikutan tempoh pemegang jawatan MT bagi penggal 2018/2021 telah tamat pada 30 Jun lalu.

UMNO telah merujuk keputusan RoS kepada peguam parti dan kemudian menyatakan tiada sebarang kekhilafan dibuat mereka serta keputusan penangguhan pemilihan UMNO telah dilakukan secara teratur.

Justeru, pemilihan jawatan MT, bahagian dan cawangan ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kepada RoS iaitu sebelum 29 Disember 2022.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button