Berita Utama

Suami boleh teman isteri bersalin mulai 4 Oktober ini

Perlu lengkap vaksin, jalani ujian PCR atau RTK dalam tempoh 72 jam

PUTRAJAYA, 23 Safar 1443H, Khamis – Kementerian Kesihatan (KKM) membenarkan suami atau ahli keluarga terdekat untuk menemani ibu hamil semasa bersalin berkuat kuasa 4 Oktober ini.

Memaklumkan perkara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihak yang mahu menemani ibu bersalin perlu mematuhi kriteria yang ditetapkan iaitu lengkap menerima vaksin COVID-19.

Katanya, ia melibatkan 14 hari selepas dos kedua bagi vaksin jenis dua dos seperti Pfizer, Sinovac dan Astra Zeneca.

Manakala vaksin jenis satu dos seperti CanSino dan Johnson & Johnson, individu berkenaan mestilah sudah melepasi hari ke-28 daripada tarikh suntikan.

Selain lengkap vaksin, beliau berkata, suami atau ahli keluarga terdekat perlu menjalani ujian pengesanan COVID-19 (RT-PCR atau RTK-Ag) di mana-mana fasiliti kesihatan atau makmal swasta dalam tempoh 72 jam dan keputusan ujian hendaklah dibawa bersama sebelum menemani ibu hamil di Wad Bersalin.

“Dalam masa sama, suami atau ahli keluarga terdekat juga perlu mengehadkan pergerakan mereka selepas menjalani ujian RT-PCR atau RTK-Ag,” katanya dalam kenyataan akhbar, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, suami atau ahli keluarga terdekat juga boleh membeli Kit Ujian Kendiri COVID-19 yang telah mendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) dan membawanya ke hospital bagi menjalani ujian pengesanan kendiri COVID-19 di tempat saringan disediakan di hospital dengan dipantau dan disahkan oleh anggota kesihatan bertugas.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button