Berita Utama

Pemimpin tak patriotik punca UEC layak masuk PISMP

Sistem pendidikan dikompromi bila benarkan kewujudan sekolah vernakular

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 24 Safar 1443H, Jumaat – Sebarang pengiktirafan sijil peperiksaan yang bercanggah sistem pendidikan kebangsaan boleh dianggap sebagai tindakan tidak patriotik.

Ia kemungkinan berpunca daripada kepimpinan yang sudah tidak mencintai negara, lebih mengutamakan keuntungan diri sendiri dan membelakangkan kebajikan rakyat.

Tindakan itu bukan sahaja tidak membawa kemajuan progresif kepada negara, malah menyebabkan wujudnya keadaan perpecahan dalam negara di mana wujudnya bantahan daripada etnik Melayu, selain permusuhan terhadap etnik Cina.

Sebaliknya, kepimpinan patriotik pasti akan memikirkan kesan daripada pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) pada 2010 untuk Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP), yang nescaya akan menyusul dengan desakan agar ianya terus diiktiraf untuk yang lain-lain pula, termasuk kemasukan ke universiti awam dan pekerjaaan di sektor awam.

Pengiktirafan begini yakni bukan sijil kita sendiri, juga seterusnya tentu akan menyebabkan gesaan untuk pengiktirafan pelbagai sijil lain di luar sistem pendidikan kebangsaan kita, kata Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu yakin ia akan berlaku kerana telah memperlihat contohnya melalui pengiktirafan UEC.

Katanya, desakan begini bukan sahaja memperlihat tiada penghormatan langsung kepada sijil peperiksaan awam, ianya juga adalah manisfestasi tiada langsung perasaan segan silu terhadap kepimpinan negara yang didapati boleh dikompromikan dengan senang sekali.

“Dalam hal ini, ia sudah lama berlaku semenjak kita merdeka lagi, apabila sistem pendidikan negara dikompromi untuk membenarkan kewujudan sekolah vernakular, yang bukan sahaja ditentang keras penjajah British, tetapi juga dengan agresif sekali oleh etnik Melayu.

“Sepatutnya dalam bidang pendidikan dan juga lain-lain, kepimpinan negara harus selalu bersifat patriotik dengan tidak sesekali mengutamakan kemajuan regresif.

“Antaranya mengiktiraf sijil UEC dan lain-lain yang pasti akan menjejaskan proses pembentukan negara bangsa yang erat bersatu melalui pendukungan jati diri kebangsaan kental,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Sehubungan ini, beliau meminta kepimpinan negara kini menyatukan rakyat dengan memperjuangkan kepentingan rakyat majoriti bagi memajukan negara.

Pengiktirafan sijil UEC tidak boleh sesekali diperluas lagi untuk ranah lain, selain yang telahpun diberikan, katanya.

“Dengan ini, kepimpinan negara semasa dan akan datang diminta untuk mula meletakkan asas patriotik yang kuat untuk negara ini, antaranya dengan memastikan nasionalisme Malaysia didasarkan kepada kepentingan rakyat terbanyak.

“Dan bukan sekali kepentingan peribadi pemimpin tertentu dan sesuatu etnik itu yang dikaburi sebagai kepentingan negara,” katanya.

Terdahulu dilaporkan, setakat 21 September lepas, seramai 18 pelajar lepasan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dilaporkan mendaftar PISMP bagi UEC.

Menurut Naib Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Pendidikan MCA, Chen Fan Chong pendaftaran itu merupakan angka tertinggi dalam sejarah.

PISMP-UEC telah dilancarkan pada 10 Jun 2010 di mana kerajaan Barisan Nasional (BN) mengumumkan kebenaran untuk lepasan sijil UEC memasuki Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button