Berita Utama

Tanah runtuh, kereta terjunam

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan

GEORGE TOWN, 24 Safar 1443H, Jumaat – Sebahagian tembok penahan dan jalan di Lengkok Halia, Tanjung Bungah di sini mengalami tanah runtuh sehingga menyebabkan sebuah kereta yang diparkir di kawasan itu terjunam ke dalam runtuhan tersebut.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dalam kejadian itu kerana tiada pemandu atau penumpang dalam kereta jenis Proton Saga tersebut.

Berdasarkan rakaman video selama 13 saat yang tular di media sosial itu menunjukkan kereta tersebut diparkir di tepi jalan yang jalan berkenaan terletak di tebing sebuah parit kecil.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Ar Yew Tung Seang turut mengadakan lawatan di kawasan tanah runtuh itu berkata, kejadian tersebut dipercayai berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi, tadi.

“Semalam kami (MBPP) mendapati terdapat rekahan pada tebing dan tembok penahan jalan itu, jadi kami telah mengarahkan pemilik kereta yang parkir di situ agar tidak meletakkan kenderaan di situ.

“Semasa kejadian tanah runtuh, terdapat enam kereta diparkir di situ namun lima daripadanya sempat dialihkan oleh pemilik kenderaan manakala sebuah lagi kereta tidak sempat dialihkan dan menyebabkan ia terjunam ke dalam runtuhan berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Yew berkata, pihaknya ketika ini menunggu laporan lengkap berhubung kejadian itu daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mengetahui punca sebenar insiden tanah runtuh berkenaan.

Katanya, kawasan kejadian itu merupakan tanah rizab JPS dan pihaknya telah meminta mereka membaiki runtuhan tersebut.

“Punca kejadian itu masih dalam siasatan dan pihak JKR bersama JPS sedang menyediakan laporan berhubung perkara tersebut. Jalan ini akan ditutup sehingga kerja-kerja pembaikan dijalankan,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button