Berita Utama

UMNO mahu dominan, tak kompromi kerusi dimenangi PRU14

Keputusan akar umbi pertahan kerusi Parlimen dan DUN

BANGI, 24 Safar 1443H, Jumaat – UMNO bertegas akan mempertahankan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Keputusan itu seperti yang diputuskan secara sebulat suara dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO tahun lalu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kerusi telah dimenangi dalam PRU14.

Katanya, ketetapan itu bukan hanya oleh MKT, tetapi ia lahir dari suara akar umbi yang mahu UMNO menjadi dominan semula selepas PRU15.

“Dominan bukan pula bermaksud angkuh, tetapi kewajipan mengembalikan UMNO sebagai sebuah parti yang menjadi teras kepada pentadbiran kerajaan.

“UMNO parti terbesar bangsa Melayu dan parti terbesar di negara ini, maka kemenangannya sangat signifikan dalam memastikan kestabilan yang kukuh.

“Dan pastinya UMNO sedia maklum akan ada parti lain bertanding di kawasan sama. Ini lumrah sebuah negara demokrasi,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan mengingatkan untuk sesekali memperkecilkan kekuatan UMNO dan para akar umbinya bangkit.

“Rakyat telah mengerti antara kebenaran dan kepalsuan. Mereka melihat dengan jelas apa yang berlaku selepas PRU14.

“Pisang tidak berbuah dua kali. Cukup-cukup sudah apa yang terpaksa mereka lalui sejak 9 Mei 2018,” katanya.

Semalam, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan, PN akan membincangkan persiapan PRU15 termasuk pembahagian kerusi DUN dan Parlimen minggu depan tanpa UMNO.

Ia hanya melibatkan tiga parti iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PAS dan Parti Gerakan Nasional (Gerakan) di samping komponen lain di Sabah serta Sarawak.

Katanya, keputusan tersebut dibuat selepas tiada petunjuk dan hala tuju jelas UMNO sama ada mahu terus bekerjasama atau sebaliknya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button