Berita Utama

GTA perlu menang PRU15 bagi kembalikan negara ke landasan betul

Politik Malaysia belum matang, kepartian mendahului kepentingan negara

BANGI, 3 Rabiulawal 1444H, Jumaat – Demi mengembalikan semula negara ke landasan yang betul sekali gus memulihkan kestabilan, Gerakan Tanah Air (GTA) perlu menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Kini menjadi keutamaan GTA untuk menguasai tampuk kepimpinan dalam usaha ke arah mengembalikan kepentingan negara mengatasi kepartian, kata Timbalan Ketua Penerangan GTA, Mahdzir Ibrahim.

“Kita akan bergerak bersama-sama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan mereka yang tidak menyertai parti politik bagi menjayakan hasrat berkenan.

“GTA bergerak bersama NGO dan individu yang bukan parti politik agar kartel-kartel politik ini tidak lagi bermaharajalela hingga menyebabkan politik dan pentadbiran negara tidak stabil.

“Walaupun berdepan tugas sukar dan mustahil tetapi kita yakin usaha ini dapat dilakukan dengan keyakinan dan kerja keras semua pihak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Penyelaras Parlimen Parit Sulong itu berpendapat, Malaysia kini masih belum matang dalam mengurus dan mentadbir politik kerana kepentingan kepartian mendahului kepentingan negara.

Malah, katanya, terdapat kartel-kartel politik sanggup bekerjasama dengan parti yang kalah.

Situasi berkenaan, katanya, telah menyebabkan politik negara kacau bilau dan hilang kestabilannya, akhirnya menjejaskan rakyat serta negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button