Berita Utama

Imigresen cadang polisi baharu untuk PLKS

Cadangan dibuat selepas banyak pekerja asing tidak mematuhi piawaian standard minimum Akta 446

BANGI, 24 Safar 1443H, Jumaat ¬– Jabatan Imigresen akan mencadangkan satu polisi baharu kepada kerajaan bagi pengeluaran dan pembaharuan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) pekerja asing iaitu majikan perlu mematuhi piawaian standard minimum penyediaan penginapan pekerja asing mengikut Akta 446.

 

Ketua Pengarahnya Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, cadangan berkenaan akan dibawa kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Sumber Manusia (KSM) serta Jabatan Tenaga Kerja (JTK) untuk penyediaan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) bagi perbincangan.

 

“Berdasarkan polisi baharu ini, majikan perlu memenuhi Akta 446 (Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990) (Pindaan 2019) dengan cara mendapatkan sijil perakuan daripada JTK.

 

“…Dengan sijil perakuan ini barulah mereka (majikan) boleh dipertimbangkan untuk membawa masuk pekerja asing atau memperbaharui (PLKS) pekerja sedia ada,” katanya.

 

Beliau berkata cadangan itu disuarakan susulan masih terdapat banyak penempatan pekerja asing yang tidak mematuhi piawaian standard minimum Akta 446.

 

Khairul Dzaimee berkata sekiranya cadangan itu diterima dengan SOP dan garis panduan yang lengkap, beliau berharap ia dapat dikuatkuasakan pada tahun hadapan, terpakai kepada semua pekerja asing meliputi semua sektor.

 

“Pihak saya akan memperhalusi terlebih dahulu kertas cadangan dan membawanya ke peringkat lebih tinggi untuk dibincang dan mendapatkan persetujuan. Kita tidak boleh lagi benarkan majikan menyediakan kediaman yang tidak sesuai didiami oleh pekerja ini,” katanya.

 

Sementara itu, seramai 297 warga asing ditahan dalam serbuan yang dijalankan di kawasan penempatan warga asing itu bermula kira-kira 1 pagi tadi, terdiri daripada 94 lelaki dan 28 wanita warga Indonesia, 95 lelaki (Bangladesh), 66 (lelaki Myanmar), enam lelaki dan tujuh wanita (Vietnam) serta seorang lelaki Ghana.

 

Katanya operasi itu hasil aduan diterima daripada orang awam mengenai penempatan sesak warga asing di kawasan itu dilihat tidak mematuhi aspek kebersihan, ditempatkan dalam tujuh blok kontena dan ternyata mereka tidak mematuhi Akta 446 di bawah JTK yang boleh mencetus pembiakan aedes.

 

“Bagi kesalahan tidak mematuhi Akta 446 ini sahaja, majikan boleh dikenakan denda sebanyak RM50,000 bagi satu kesalahan dan kalau kita perhatikan, kawasan ini dikelilingi semak-samun, jalan masuk ialah tanah merah dan keadaannya adalah begitu kotor sekali,” katanya.

 

Khairul Dzaimee berkata kesemua warga asing yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(C) iaitu tidak tidak memiliki dokumen sah dan Seksyen 15(1)(C) tinggal melebihi masa.

 

Beliau berkata kesemua mereka akan ditempatkan di Depoh Tahanan Imigresen Semenyih dan akan menjalani saringan COVID-19 terlebih dahulu di Pusat Kesihatan Daerah Putrajaya dan Seremban. – Bernama

 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button