Istimewa

Kerajaan lulus peruntukan RM15 juta untuk 63 sekolah persendirian Cina?

Dong Zong dakwa pemimpin MCA banyak bantu dalam peruntukkan dana kepada SMPC

BANGI, 24 Safar 1443H, Jumaat – Pertubuhan pendidikan Cina, Dong Zong mendedahkan, 63 buah Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) di seluruh negara telah mendapat peruntukkan sebanyak RM15 juta dari kerajaan tahun ini.

Mengesahkan perkara itu, Pengerusi Dong Zong, Tan Tai Kim berkata, SMPC di seluruh negara menerima peruntukan dari Kementerian Kewangan yang disalurkan sejak beberapa hari lepas.

Susulan itu, dia mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pengangkutan yang juga Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Timbalan Menteri Pendidikan, Senator Datuk Dr Mah Hang Soon yang telah banyak membantu dalam peruntukkan dana kepada SMPC.

Memetik laporan Kwong Wah semalam, Tai Kim turut menceritakan proses untuk mendapatkan dana tersebut.

“Melalui komunikasi dan usaha keras berterusan pelbagai pihak, pada 29 Januari tahun ini, Presiden MCA, Wee Ka Siong telah menulis surat kepada Kementerian Kewangan memohon peruntukkan untuk SMPC,” katanya.

Pada 19 April lalu, Kementerian Kewangan telah membalas surat itu dan memaklumkan permohonan tersebut telah diluluskan.

Sejurus selepas itu, khabar berkenaan telah disampaikan kepada SMPC seluruh negara melalui pemimpin-pemimpin MCA negeri.

Pada 23 April lepas, Ka Siong dan Hang Soon mengadakan perjumpaan dengan pertubuhan-pertubuhan Cina, di mana mereka memberikan penerangan terperinci mengenai peruntukkan dari Kementerian Kewangan serta kesediaan kementerian itu untuk mengumumkannya dalam masa terdekat.

Seterusnya, Dong Zong telah bekerjasama dengan Ka Siong dan Hang Soon dengan memberi maklumat akaun bank setiap SMPC.

Pada 15 September pula, bersama pemimpin MCA, jawatankuasa pusat Dong Zong, wakil Dong Lian (persatuan pengurus sekolah Cina negeri) dan lembaga pengurus SMPC dari setiap negeri, Ka Siong serta Hang Soon mengumumkan Kementerian Kewangan bakal menyalurkan peruntukkan ke dalam akaun bank setiap SMPC dalam masa terdekat.

Pada 23 September lepas, Kementerian Kewangan dengan rasminya telah menghantar surat kepada 63 buah SMPC, surat itu dengan jelas menyatakan peruntukkan sebanyak RM15 juta akan disalurkan kepada semua sekolah berkenaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button