Berita UtamaDunia

Kes COVID-19 di Syria kritikal, hospital tahap maksimum

Mohon bantuan antarabangsa elak bencana lebih besar

BEIRUT, 24 Safar 1443H, Jumaat – Kes COVID-19 meningkat ke tahap kritikal di Syria dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dengan kemudahan kesihatan mencapai kemampuan maksimum.

Di beberapa kawasan paling terjejas, infrastruktur kesihatan tidak mencukupi sementara persediaan perubatan asas dan dos vaksin kekurangan bekalan.

Walaupun jumlah kes meningkat di seluruh negara, wilayah yang tampaknya paling parah dilanda gelombang terbaru pandemik itu adalah wilayah di utara yang masih terlepas dari kawalan kerajaan.

Di Idlib, jumlah jangkitan harian yang direkodkan meningkat dengan mendadak dan sering kali mencecah 1,000 sehari.

“Dari bulan Ogos hingga September, jumlah kes coronavirus yang disahkan di barat laut Syria melonjak 144 peratus menjadi 71,715 pada 28 September dengan 1,151 kematian,” kata Save the Children.

Badan amal itu berkata, hanya sedozen katil di unit rawatan rapi (ICU) yang ada di seluruh wilayah dan meminta bantuan kecemasan antarabangsa bagi mengelakkan bencana yang lebih besar lagi.

Kes COVID-19 juga meningkat di timur laut negara itu, yang kebanyakannya dikendalikan oleh pentadbiran autonomi Kurdi dan di wilayah kerajaan.

Kementerian Kesihatan Syria minggu lalu berkata, hospital di Damsyik dan di bandar pesisir utama Latakia mencapai kemampuan penuh. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button