Berita Utama

Lebih 5 dekad SPRM terus unggul banteras rasuah

SPRM kini menjadi sebuah agensi penguatkuasaan yang digeruni

KUALA LUMPUR, 24 Safar 1443H, Jumaat – Bermula dengan hanya sebuah unit kecil di bawah Jabatan Perdana Menteri sekitar lima dekad lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini menjadi sebuah agensi penguatkuasaan yang digeruni selepas berjaya membongkar pelbagai kes rasuah berprofil tinggi.

SPRM yang kini menjejak usia matang ke-54 tahun, tidak lagi menoleh ke belakang malah lebih fokus untuk membanteras isu-isu rasuah dalam sektor perolehan, penguatkuasaan dan grand corruption (rasuah berskala besar), seiring dengan transformasi ekonomi dan perkembangan sosiobudaya masa kini.

“Kita tidak boleh duduk di takuk lama, kita sudah melalui zaman pascakemerdekaan, zaman pembangunan modenisasi, perkembangan ekonomi, melalui zaman kesusahan kewangan ekonomi pada 1999 kemudian negara berkembang semula dan perubahan landskap politik,” kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki.

Perkongsian Azam mengenai perkembangan semasa suruhanjaya itu dibuat menerusi wawancara khas bersama media yang berlangsung secara maya sempena sambutan ulang tahun BPR/SPRM Ke-54 hari ini yang bertemakan ‘Semarakkan Integriti, Rasuah Diperangi’.

Menurut Azam, selepas lebih separuh abad SPRM menjadi agensi ulung dalam membanteras rasuah dan salah guna kuasa mengikut undang-undang, pelbagai cabaran turut dihadapi.

Beliau berkata jenayah yang berbentuk grand corruption dan jenayah sindiket semakin meningkat dan pihaknya perlu melihat kaedah penyiasatan yang lebih kemas dan berkesan.

“Kita perlu menggandakan usaha dalam kaedah perisikan dan penyiasatan menggunakan teknologi yang lebih maju dan saya akan memohon kepada kerajaan untuk membantu kita menambah kapasiti dalam peningkatan penggunaan teknologi dalam siasatan,” katanya.

Mengulas mengenai sambutan ulang tahun SPRM kali ini, Azam berkata pelbagai program telah dirangka untuk mempromosikan semangat integriti dalam kalangan masyarakat.

“Integriti ini bermaksud amanah, tanggungjawab, disiplin dan perkara-perkara baik dalam diri manusia itu, jika perkara ini tiada, sudah tentu apa sahaja usaha kita untuk perangi rasuah tidak berkesan.

“Antara lain, kita perlu mengadakan undang-undang dan peraturan yang sesuai untuk menyemarakkan budaya integriti dalam kalangan masyarakat, pegawai kerajaan dan pegawai SPRM. Selepas itu, barulah usaha untuk memerangi rasuah boleh dijalankan dengan berkesan,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button