Berita Utama

Mana janji ‘pemimpin’ nak tuntut keadilan kematian Adib?

Rakyat persoal tanggungjawab kerajaan bantu keluarga mangsa

BANGI, 24 Safar 1443H, Jumaat – Rakyat tidak boleh menerima begitu sahaja keputusan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim tanpa pendedahan hasil siasatan.

Bayangkan, tiba-tiba kita dikejutkan dengan keputusan kes ditutup sementara, walhal tiga tahun rakyat marhaen dan NGO berjuang menegakkan keadilan untuk Allahyarham dan keluarga.

Timbul persoalan sama ada kerajaan tidak serius dalam menangani isu ini memandangkan tiada pemimpin negara tampil ke hadapan apatah lagi turun padang dalam menyelesaikan isu berkenaan.

Ketua Pemuda BERJASA, Ustaz Fahmi Bazlan Muda menegaskan, kegagalan dalam kes Muhammad Adib adalah indikator untuk tahap keharmonian dan perpaduan rakyat.

Tegasnya, kes ini juga menjadi ukuran sejauh mana penjawat awam khususnya penguatkuasa dihormati dan undang-undang negara dipatuhi.

“Saya mengharapkan hasil pengorbanan arwah Adib membuahkan suatu perubahan kepada akta-akta keselamatan sedia ada.

“Juga memberikan kejelasan dalam isu pencerobohan tanah, untuk kuil dan tokong,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ustaz Fahmi mengingatkan bahawa Islam meletakkan nilai dan naugan yang cukup tinggi terhadap darah dan nyawa seorang manusia, melainkan dengan hak-hak Islam yang terlaksana.

Atas dasar itu, beliau melontarkan persoalan sama ada umat Islam khususnya orang Melayu perlu bangkit membuat keputusan sendiri dalam menyelesaikan isu ini.

“Di mana pembelaan dan tanggungjawab kerajaan dalam membantu keluarga mangsa masih menjadi tanda tanya,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, kes kematian Muhammad Adib ditutup sementara dan akan dibuka semula jika terdapat bukti baharu.

Katanya, kerajaan kini akan memberi fokus terhadap keperluan keluarga Allahyarham Muhammad Adib.

Walhal, sebelum ini Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan 18 individu telah dituduh dibawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan perbicaraan dilaporkan tamat pada 23 September.

Dua tertuduh telah dituduh dibawah Seksyen 427 iaitu khianat dan dikenakan denda RM7,000 setiap seorang.

“Polis Diraja Malaysia juga telah merujuk kepada Jabatan Peguam Negara berkenaan 12 suspek yang turut ditahan berkaitan kes ini untuk arahan selanjutnya,” katanya.

Muhammad Adib meninggal dunia pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN), sebulan selepas mengalami kecederaan susulan rusuhan di luar Kuil Seafield Sri Maha Mariamman, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button