Berita Utama

PEMBELA lancar petisyen ‘Jangan Kuburkan Kes Adib’

Mahu pemimpin lebih cakna dengan kemarahan rakyat ketika ini

BANGI, 24 Safar 1443H, Jumaat – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) melancarkan petisyen ‘Jangan Kuburkan Kes Adib’ sebagai tanda solidariti rakyat negara ini terhadap Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, petisyen berkenaan diharapkan membuka mata pemimpin untuk lebih cakna dan memandang serius dengan kemarahan rakyat berhubung kes berkenaan.

“Mohon jasa baik sahabat-sahabat, tuan-tuan dan puan-puan sekalian untuk menyebarkan petisyen ini seluas-luasnya.

“Kita tunjukkan solidariti kita dalam kes ini, Insya-Allah kita harap natijahnya adalah keadilan buat arwah Adib dan keluarganya kelak,” katanya dalam kenyataan.

PEMBELA sebelum ini menzahirkan rasa kecewa berhubung kes kematian Allahyarham Muhammad Adib yang ditutup dan hanya akan dibuka semula jika terdapat bukti baharu.

Kenyataan yang dikeluarkan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin itu menimbulkan persoalan sama ada siasatan masih diteruskan untuk mendapat bukti baharu atau sekadar menunggu mana-mana pihak membuat laporan.

Aminudin turut mempersoalkan apakah hasil siasatan yang dibuat oleh satu jawatankuasa yang ditubuh pihak polis satu ketika dahulu masih tidak cukup bukti.

Sehingga 2.45 petang tadi, sebanyak 4,475 tandatangan berjaya dikumpul sebagai tanda solidariti rakyat di negara.

Allahyarham Muhammad Adib yang parah dipukul ketika insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya menghembus nafas terakhir di Institut Jantung Negara pada 17 Disember 2018 selepas beberapa hari koma.

Bagaimanapun punca kematiannya dipertikaikan sama ada akibat diserang atau kerana kemalangan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button