Berita Utama

Untungnya bernaung di bawah Dong Zong

SMPC terus jadi 'social control' dalam sistem pendidikan selagi tiada riak perubahan dan iltizam politik

PERTUBUHAN Pendidikan Dong Zong umum mendapat peruntukan 15 juta untuk SMPC. Sebelum itu pada 10 Ogos 2021, Yayasan Sultanah Fatimah telah menyumbang sebanyak RM1.5 juta kepada 10 buah sekolah persendirian Cina dan sebuah kolej swasta, Southern University College (SUC). Pada 18 Ogos 2021, kerajaan negeri Perak telah mengagihkan RM 1.8 juta untuk sembilan buah SMPC di Perak.

Ini keuntungan perjuangan pendidikan kaum Cina. Mereka menjadi kuasa kawalan sosial (social control) kepada mana-mana parti politik untuk mempertaruhkan perjuangan di depan publik demi undi. Hasilnya sekolah-sekolah ini akan terus mendapat bantuan dan sokongan. Sejarah menunjukkan bahawa perjuangan mempertahankan pendidikan sekolah vernakular dilatari oleh MCA dan kewujudan Southern University College, New Era University College dan Han Chiang University College of Communication adalah usaha keras pimpinan Dong Dong serta MCA yang di bawah kerajaan BN ketika itu. Ini fakta dan tiada siapa yang dapat menafikannya.

Kerajaan akan terus akur dengan apa jua tuntutan sebagai meraih undi politik. Kewujudan akta sedia khususnya Akta Pendidikan 1996 akan dijadikan alasan membenarkan kewujudan sekolah persendirian ini. Isu sekolah vernakular tidak akan selesai dengan sentimen dan emosi politik dan ia perlu dilihat kepada aspek perundangan dan latar sejarah.

Cuma persoalan yang perlu dibangkitkan, kenapa sekolah ini tidak mahu berada di bawah satu bumbung sistem pendidikan demi merealisasikan hasrat Tun Razak melalui Penyata Razak 1956. Begitu juga usaha Rahman Talib yang telah menawarkan kepada sekolah-sekolah ini untuk menerima pakai sistem pendidikan kebangsaan. Jika begini keadaannya, usaha membina negara bangsa tidak akan tercapai dek pemisahan sistem pendidikan. Ini akan mengekalkan wajah vernakular yang sedia ada. Apa pilihan kita?

Satu cara, hantar anak-anak melayu belajar di SMPC atau naik taraf sekolah-sekolah kebangsaan agar lebih baik dari SMPC agar menjadi pilihan semua.

SMPC akan terus menjadi social control dalam sistem pendidikan negara selagi tiada riak-riak perubahan dan iltizam politik. Akhirnya jadilah apa yang disebut ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan ‘.

Ustaz Mohd Azizee Hasan
Presiden iGuru

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button