Berita Utama

Banyak sekolah kebangsaan lagi daif, kenapa tanggung sekolah swasta Cina

Bantah tindakan kerajaan salur peruntukan RM15 juta untuk SMPC

BANGI, 25 Safar 1443H, Sabtu – Rata-rata penyokong sekolah satu aliran mempertikaikan tindakan Kementerian Kewangan meluluskan peruntukan RM15 juta untuk 63 sekolah persendirian Cina di seluruh negara.

Pengerusi Perikatan Masyarakat Sivil dalam Proses Slemakan Sejagat (UPR) Malaysia (MACSA), Lukman Sheriff Alias tidak ketinggalan membidas tindakan itu yang dianggap sebagai langkah tidak betul.

“Oleh kerana saya pendukung satu sekolah untuk Malaysia, saya tidak bersetuju pemberian dana awam untuk sekolah persendirian.

“Apahal kita nak buat sedemikian. Kita patut beri insentif lagi kepada sekolah kebangsaan.

“Banyak sekolah kebangsaan lagi daif dari sekolah persendirian. Sekolah persendirian biarlah ditanggung sendiri oleh pihak swasta. Ini dah tak betul,” katanya menerusi kenyataan ringkas dimuat naik di Facebook beliau hari ini.

Kenyataan Lukman mendapat sokongan netizen yang mahu kerajaan memberi keutamaan kepada sekolah kerajaan yang lebih memerlukan.

Menurut Mohd Nadzri, sekolah persendirian Cina hebat dari sudut fasilitinya kerana mereka mempunyai dana sendiri yang besar.

“Dapat lagi peruntukan kerajaan sebanyak RM15 juta melalui Dong Zong yang diwakili oleh dua wakil MCA dalam kerajaan.

“Pada masa yang sama sekolah-sekolah agama rakyat dan tahfiz merayu derma orang ramai untuk ‘sustain’ sekolah mereka.

“Mana Ahli Parlimen Islam dalam kerajaan Melayu Islam?” soalnya.

Muhammad Azhan pula menegaskan duit rakyat perlu disalurkan semula kepada kepentingan rakyat bersama bukan hanya sebuah kelompok sahaja.

“Jangan mempertikaikan yang hak,” katanya.

Sebelum ini, Dong Zong mendedahkan, 63 buah Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) di seluruh negara telah mendapat peruntukkan sebanyak RM15 juta dari kerajaan tahun ini.

Pengerusinya, Tan Tai Kim berkata, SMPC di seluruh negara menerima peruntukan dari Kementerian Kewangan yang disalurkan sejak beberapa hari lepas.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button