Berita Utama

‘U-turn’ larangan jual arak, selama ini wayang nak puaskan hati orang Islam?

Apakah kerana tekanan, depan cakap lain belakang buat lain

BANGI, 26 Safar 1443H, Ahad – “Apakah hujah di sebalik keputusan menangguhkan larangan penjualan minuman keras di kedai runcit, serbaneka dan kedai ubat Cina sekitar ibu negara?”

Demikian persoalan dibangkitkan Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya terhadap keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menangguhkan larangan penjualan arak selama tempoh sebulan. 

Beliau berkata, mungkin ramai yang tidak mengetahui perkara ini, tetapi ia pernah disorak-sorakkan pada tahun lalu di mana Menteri Wilayah mengumumkan larangan penjualan arak di Wilayah Persekutuan yang sepatutnya berkuat kuasa Oktober 2021.

“Bila tibanya Oktober 2021, senyap-senyap sahaja tak jadi.

“Saya tak pasti apa sebenar-benarnya yang menjadi sebab ‘U-Turn’ ini, apakah ianya hanya wayang untuk tempoh setahun bagi memuaskan hati orang Islam?

“Atau apakah kerana tekanan-tekanan masyarakat bukan Islam sebagaimana reaksi persatuan-persatuan mereka pada tahun lalu?,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menilai situasi tersebut, Aminuddin memberi sindiran dengan menyatakan bahawa tindakan ini mungkin merupakan ‘kebijakan seni politik’ yang sering diperkatakan.

“Depan orang Melayu cakap lain, di belakang buat lain?

“Zaman PH mengarut. Zaman PN mengarut. Zaman BN pun mengarut lagi. Apakah perlu gagasan politik baharu bagi menggantikan gagasan-gagasan dinosaur ini? 

“Mungkin, kerana demokrasi adalah ciptaan manusia yang boleh berubah-ubah. Dan kematangan berpolitik itu pastinya perlu melalui perubahan yang berbagai-bagai,” katanya.

Terdahulu, DBKL mengeluarkan Garis Panduan Lesen Minuman Keras (LMK), yang telah diguna pakai berkuat kuasa 15 November 2020, yang mana garis panduan itu antara lain menyatakan bermula 1 Oktober 2021 penjualan minuman keras di kedai runcit, serbaneka dan kedai ubat Cina tidak dibenarkan.

Bagaimanpun, DBKL memaklumkan penguatkuasaan itu ditangguhkan sehingga 31 Oktober dengan tujuan untuk memuktamadkan kajian berkaitan kawalan penjualan minuman keras di Kuala Lumpur.

“Pada masa ini pemilik Lesen Minuman Keras (LMK) runcit masih dibenarkan menjual minuman keras jenis liquor di kedai runcit, serbaneka, dan kedai ubat cina sehingga 31 Oktober ini,” katanya

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button