Berita Utama

Polis Pahang pantau laluan tikus kekang COVID-19

Kawasan sempadan negeri akan dipantau 24 jam sehari

KUANTAN, 11 Rabiulakhir 1442H, Jumaat – Polis Pahang memperketatkan kawalan di laluan tikus dan kawasan sempadan negeri dengan mengadakan pemantauan 24 jam bagi mengekang penualaran pandemik COVID-19 di negeri itu.

Ketua Polis Negeri Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata langkah itu bagi mengelak individu terutama dari kawasan zon merah memasuki negeri berstatus zon hijau itu tanpa surat kebenaran merentas negeri.

Beliau berkata kira-kira 167 anggota ditempatkan di laluan tikus dan sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri antaranya di Rompin, Bentong, Kuantan dan Bera.

“Langkah ini kita lihat memberi impak positif kerana semalam sahaja, kita mengarahkan 49 kenderaan berpatah balik kerana tidak mempunyai surat kebenaran rentas negeri, malah ada antara mereka dari zon merah menggunakan lorong tikus semata-mata untuk melancong di negeri ini.

“Selain itu, kita juga mencadangkan kepada mana-mana pihak dari zon merah yang hendak membuat program atau kursus di negeri ini dalam jumlah yang ramai supaya membuat ujian COVID-19 bagi memastikan mereka negatif jangkitan itu ketika memasuki Pahang. Kita tidak mempunyai kuasa untuk mewajibkan tetapi menggalakkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis penutupan Kursus Pengendalian Motosikal Ringan Kelas B2 bagi Skuad Aman Wanita (Amanita) Kontinjen Pahang, di sini, hari ini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button