Berita Utama

Akuan menentang rasuah langkah ke hadapan PN: Mohd Rafiq

Telus mahukan kerajaan dan pemimpin berintegriti sekiranya diberi mandat

MELAKA, 8 Rabiulakhir 1443H, Sabtu – Tindakan semua 28 calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menandatangani dokumen aku janji menentang rasuah malam tadi adalah satu langkah ke hadapan, kata Pengerusi PN Negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

Mohd Rafiq yang juga Naib Presiden Bersatu berkata, PN menjadi gabungan pertama melakukan tindakan tersebut dalam memastikan setiap calonnya menjauhi aktiviti rasuah yang mampu memberi kesan negatif kepada bukan sahaja rakyat tetapi juga pembangunan negeri itu.

“Usaha PN ini adalah satu usaha yang baik dalam membuktikan komiten kita yang memang telus mahukan satu kerajaan dan pemimpin berintegriti sekiranya diberi mandat nanti,” katanya di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas itu menjelaskan, insiden bilik gerakan ditutup dan dikompaun kerana kes positif COVID-19 melibatkan seorang petugas jentera parti itu tidak mengganggu perjalanan kempennya.

“Kita terima kecuaian tersebut (tidak mengeluarkan pengimbas suhu) dan kita akan jelaskan kompaun. Bagi bilik gerakan, kita sudah wujudkan bilik lain yang juga di dalam DUN Telok Mas. Kita sentiasa bersedia dengan pelan kecemasan sekiranya perkara sebegini berlaku,” katanya.

Pada hari pengundian 20 November ini, Mohd Rafiq berdepan saingan empat penjuru menentang Muhammad Ariff Adly Mohammad (Bebas), Ashraf Mukhlis Minghat (PH) dan Abdul Razak Abdul Rahman (BN). – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button