Tarbiyah

Jangan jemu doakan ibu bapa kita

Bantu tinggikan kedudukan mereka di sisi Allah

1. RASULULLAH mendidik para sahabat supaya sentiasa mendoakan kedua ibu bapa. Ini kerana, doa kita mampu membantu meninggikan kedudukan mereka di sisi Allah. Sabda Rasulullah:

إِنَّ الرَّجُلَ لَتُرْفَعُ دَرَجَتُهُ فِي الْجَنَّةِ فَيَقُولُ أَنَّى هَذَا؟ فَيُقَالُ بِاسْتِغْفَارِ وَلَدِكَ لَكَ

Seorang lelaki diangkat kedudukannya di dalam syurga (kelak), lalu dia bertanya: Dari mana datangnya (anugerah kenaikan ini)? Lalu dijawab kepadanya: Daripada doa istighfar anakmu buat dirimu.” (HR Ibn Majah – dinilai Sahih)

Perhatikan hadis ini. Rasulullah menceritakan bagaimana seorang lelaki atau wanita akan diangkat darjatnya nanti di sisi Allah melalui doa anaknya buat dirinya!

2. Bahkan, di dalam al-Quran, Allah mengajar kita supaya sentiasa mendoakan kedua ibubapa kita. Firman Allah:

وَقُلْ رَبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا

Dan ucapkanlah: Wahai Tuhanku, kasihanilah mereka (iaitu kedua ibubapa) sebagaimana mereka mengasihani kami sejak dari kecil.” (al-Isra: 24)

Ketika menghuraikan ayat ini, al-Imam al-Qurtubi berkata:

ثم أمر – تعالى – عباده بالترحم على آبائهم والدعاء لهم

Kemudian Allah memberikan arahan kepada hambanya supaya sentiasa berlaku baik terhadap kedua ibubapa mereka dan mendoakan mereka.” (Tafsir al-Qurtubi)

3. Mendoakan mereka juga adalah sunnah para Nabi. Di dalam al-Quran Allah mendatangkan beberapa contoh Nabi yang mendoakan kedua ibubapa mereka. Antaranya adalah doa Nabi Nuh:

رَبِّ اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِمَن دَخَلَ بَيْتِيَ مُؤْمِناً وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ

Wahai Tuhanku, ampunkanlah kedua ibubapaku dan sesiapa yang masuk ke rumah aku dalam keadaan beriman.” (Nuh: 28)

4. Bahkan sebahagian sarjana Muslim berpandangan bahawa sentiasa berbuat baik kepada ibubapa itu boleh melapangkan rezeki seseorang. Ini kerana menurut al-Imam al-Badr al-Aini, berbuat baik kepada ibubapa itu adalah sebaik-baik amalan dalam menghubungkan silaturrahim. Dan orang yang menghubungkan silaturrahim ini akan dipermudahkan rezekinya di sisi Allah. Sabda Rasulullah:

من أحب أن يبسط له في رزقه فليصل رحمه

Barangsiapa yang berharap agar diperluaskan rezekinya maka hubungkanlah silaturrahim.”

Dengan itu, jangan jemu mendoakan dan berlaku baik kepada ibubapa kita. Sentiasa doakan mereka seusai solat kita. Semoga Allah membimbing kita

Dr Ahmad Sanusi Azmi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button