Kuasa ketiga bergabung bela rakyat, bangunkan semula negara PRU15
Ada pemimpin tamak, lebih enam penggal pegang kawasan

Oleh Zuhayati Yazid
BANGI, 27 Safar 1443H, Isnin – Sudah tiba masanya badan bukan kerajaan (NGO) dan parti-parti kecil bergabung sebagai kuasa ketiga membela rakyat dan membangunkan semula negara pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.
Tindakan itu perlu kerana situasi politik negara semakin huru-hara selain keadaan ekonomi yang tidak membawa kemajuan.
Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim berkata, dua parti utama kini tidak lagi relevan kerana hanya melebihkan kepentingan kepartian dan bukannya membawa agenda bangsa dan agama.
“Dua parti ini tak boleh diharapkan lagi, mereka hanya utamakan kepentingan peribadi berbanding menegakkan bangsa dan agama sehingga ekonomi kita tidak lagi berkembang pesat.
“Keadaan ini sekiranya berterusan akan merugikan orang Melayu akibat pemimpin yang tamak dan pentingkan diri sendiri.
“Mereka juga tidak lagi dapat membela rakyat dan membangunkan negara sebaliknya hanya bercakaran sesama sendiri,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.
Tegas Ustaz Zamani, ahli-ahli politik hari ini hanya mengutamakan pembahagian kerusi dan sayang untuk memberi laluan kepada golongan yang lebih muda walaupun lebih enam penggal memegang kawasan.
Malah, mereka tidak bersedia bergabung dengan orang lain kerana terlalu taksub dengan kuasa yang ada.
“Mereka ini dilihat sangat tamak dan tidak sanggup memberikan laluan kepada generasi muda untuk membangunkan negara sebaliknya mahu terus kekla berkuasa walaupun lebih enam penggal berkuasa,” katanya.
Atas dasar itu, beliau melihat BERJASA perlu duduk semeja dengan NGO-NGO untuk tampil kelainan dalam mewarnai dunia politik yang lebih matang dan membawa kebaikan kepada rakyat dan negara.
“BERJASA dengan kerjasama NGO akan bergabung dan menjadi pilihan rakyat dalam menuju ke arah negara yang lebih stabil,” katanya.
Terdahulu, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah menerusi kolumnis di Ismaweb berkata, kuasa ketiga perlu bangkit iaitu NGO/NGI (tokoh individu), apabila parti politik tidak lagi boleh diharapkan untuk memperjuangkan nasib rakyat.
“Kuasa ketiga, mari kita mengatur langkah, bermula daripada sekarang menghadapi PRU15.
“Tidak mustahil kuasa ketiga ini turut boleh menjadi ‘king maker’ jika memberikan peluang.
“Melihat kepada senario politik hari ini, 3-5 kerusi sudah cukup menjadi ‘king maker’,” katanya.