Artikel Khas

Kuasa ketiga mesti diberi peluang gantikan parti politik

Mungkinkah PRU15 terakhir untuk semua parti Melayu?

ORANG politik dah lupa diri,
Tenggelam dalam puncak kuasa,
Harapkan pagar, pagar makan padi,
Berilah peluang kuasa ketiga.

UMNO menegaskan parti itu tidak akan berkompromi dengan kerusi yang dimenanginya semasa PRU14 yang lalu. UMNO akan mempertahankan semua kerusi Parlimen dan DUN yang dimenangi. Dalam PRU14, UMNO memenangi 54 kerusi Parlimen dan 241 kerusi DUN, termasuk beberapa wakil rakyatnya lompat parti

PPBM (Bersatu) menyahutkan cabaran itu dan akan lawan. Tidak mustahil mereka kembali kepada PH semula jika UMNO tidak mahu berkompromi.

PAS tersepit antara dua pula berkata, UMNO perlu menilai siapa kawan, siapa lawan. Jangan tolak penyatuan, kerana yang untung pasti musuh iaitu ultra kiasu. PAS mahukan kukuhkan perpaduan ummah, merapatkan hubungan UMNO-PPBM. Melihat kepada gelora politik semasa,memang agak mustahil untuk menyatukan parti-parti politik Melayu (Islam).

Dalam kata lain, PRU15 adalah kemuncak kepada perpecahan Melayu. Apa yang boleh diharapkan lagi kepada mereka. Masing-masing ego.

Semua parti politik Melayu beranggapan mereka adalah ‘king maker’. Mereka boleh bersama dalam kerajaan dan menumbangkan kerajaan dengan bertindak keluar.

Masing-masing menganggap mereka suci, pejuang agama, pejuang bangsa. Walhal hakikat yang sebenar tidak begitu. Paling untung sekali adalah ultra kiasu, menunggu masa untuk menyerbu, tanpa perlu bekerja keras lagi. Sekadar melihat dan merancang.

Sudah sampai masanya rakyat membuat keputusan setelah muak dengan kemelut politik Melayu. Tidak pernah sedar dan insaf meskipun telah ditimpa musibah demi musibah. Tidak mahu belajar daripada sejarah. Apa yang nak diharapkan lagi.

Mungkinkah PRU15 ini adalah PRU terakhir untuk semua parti Melayu ini. Bila berkuasa terlalu apologetik. Berada di luar kerajaan begitu lantang.
Lebih 64 tahun merdeka, kita sebagai rakyat letih dipermainkan bangsa sendiri, sama ada yang berserbankan Islam atau bersongkokkan Melayu.

Keduanya tanpa sedar adalah wajah sekular, satunya cair agama, dan satunya lagi cairkan bangsa. Agama dan bangsa diperjudikan, hanya kerana kuasa.
Nasihat mereka yang ikhlas, ibarat mencurah air ke daun keladi. Mereka terus kenyang, rakyat terus kelaparan.

Bangunlah wahai umatku. Buktikan dalam PRU15, kuasa ketiga mesti bangkit dengan sebulat perjuangan untuk membela agama, bangsa dan negara, tanpa menafikan hak orang lain.
Jika kita sayangkan anak cucu kita dan masa depan kita, kita mesti bangkit. Biarkan kerajaan dan parti politik dengan ketaasuban mereka.

Memikirkan secara mendalam, apa yang kita sebagai rakyat dapat ketika mereka berkuasa? Kita terus tunduk kepada ultra kiasu demi secebis undi, untuk kekal berkuasa.

Sanggup menggadaikan maruah agama dan bangsa, demi kuasa. Sewenang-wenang sahaja sekolah persendirian mendapat RM15 juta, atas alasan ultra kiasu juga membayar cukai.

Jika ada kewajarannya dibantu, tidak ada siapa yang mempertikai. Malangnya, sekolah persendirian ini tidak berperlembagaan, menolak menyertai sistem pendidikan negara. Mereka yang mengambil keputusan berpisah.

Sistem pendidikan mereka seolah-olah tidak boleh diusik. Sekolah ini juga yang dibantu. Sekolah agama seolah-olah hidup segan mati tak mahu. Oh! tanahairku.

Justeru, sudah sampai masanya, kuasa ketiga bangkit iaitu NGO/NGI (tokoh individu), apabila parti politik tidak lagi boleh diharapkan untuk memperjuangkan nasib rakyat.

Kemunculan kuasa ketiga tidak mustahil melihat kepada kegagalan dan kelemahan politik dalam negara. Kepentingan peribadi dan politik kumpulan tertentu dan konflik dalaman mereka.

Dalam kata lain, kerajaan dan parti politik tidak lagi boleh diharapkan. Kegagalan kerajaan menjalankan fungsinya dengan sebaik mungkin. Kegagalan pihak pembangkang untuk muncul sebagai alternatif.

Apabila kerajaan dan parti politik tidak lagi boleh diharap, sudah sampai masanya kuasa ketiga iaitu NGO/NGI tampil membela nasib rakyat
Kuasa ketiga ini tidak mustahil mampu membuatkan kejutan kepada kuasa pertama dan kedua dengan idea dan pembaharuan yang dibawa.

Rakyat sudah bosan dan muak dengan permainan politik tidak berkesudahan. Mereka semua sudah kaya-raya, sedangkan rakyat terus menderita.

Ayuh! Kuasa ketiga, mari kita mengatur langkah, bermula daripada sekarang menghadapi PRU15. Tidak mustahil kuasa ketiga ini turut boleh menjadi ‘king maker’ jika memberikan peluang. Melihat kepada scenario politik hari ini, 3-5 kerusi sudah cukup menjadi ‘king maker’.

Paling penting, kuasa ketiga mesti melakukan beberapa perkara berikut:

1. Buktikan keikhlasan dalam perjuangan dalam mempertahankan agama, bangsa dan negara.
2. Menumpahkan kesetiaan kepada Raja-raja Melayu selagi mana mereka berada dalam landasan kebenaran.
3. Bertindak berpandukan perlembagaan
4. Perjuangkan nasib rakyat yang tertindas dan teraniaya tanpa mengira kaum seperti menuntut keadilan almarhum Adib yang dibunuh dalam rusuhan kuil
5. Berani menentang rasuah, korupsi dan segala kemungkaran, tanpa kompromi
6. Perjuangan berpaksikan keadilan, memberikan hak kepada yang berhak, bukan samarata samarasa
7. Menentang “Malaysian Malaysia” yang menjadi asas perjuangan ultra kiasu
8. Menentang ultra kiasu yang mahukan hak mereka yang tidak berperlembagaan diiktiraf, seperti peruntukan kewangan terhadap institusi pendidikan mereka, sijil UEC dan sebagainya
Cukuplah sekadar lapan asas ini sebagai permulaan untuk bergerak. Mudah-mudahan perjuangan kuasa ketiga ini direstui Yang Maha Esa.

Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button