Berita Utama

Lulus RM15 juta untuk 63 sekolah persendirian Cina bahana MoU?

Lupakah Dong Zong 'berperang' bermati-matian tolak tulisan Jawi

BANGI, 27 Safar 1443H, Isnin – Sungguh tidak masuk akal apabila peruntukan RM15 juta untuk 63 sekolah persendirian Cina seluruh negara diluluskan, sedangkan banyak maahad tahfiz terpaksa ditutup operasi kerana masalah dana.  

Malang sekali, kerajaan yang didukung oleh orang Melayu, kini begitu gigih menyusukan kera di hutan, kata Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Mohd Noor Azib Asmangi.

“Ketika menjadi pembangkang semua jadi juara. Apabila menjadi pemerintah, bersaudara dengan kera yang disusukan.

“Mungkinkah ini kesan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani antara kerajaan dan pembangkang?,” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menyentuh mengenai sekolah persendirian Cina yang ditunjangi Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), beliau mengingatkan bahawa mereka inilah yang memperjuangkan silibus Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk diiktiraf.

“Ini bermaksud, paksi kepada pendidikan ini ialah negara China?

“Lupakah bagaimana Dong Zong ‘berperang’ bermati-matian menolak pengajian tulisan jawi dan Bahasa Melayu dalam silibus venakular?

“Apa lagi yang akan digadai pimpinan negara ini?,” katanya.

Presiden Dong Zong, Tan Tai Kim yang memberitahu mengenai kelulusan peruntukan RM15 juta itu mengucapkan terima kasih kepada Presiden MCA, Wee Ka Siong dan Mah Hang Soon, yang juga timbalan presiden MCA, atas bantuan mereka dalam memperjuangkan peruntukan tersebut.

Tan juga berharap kerajaan akan terus memperuntukkan dana untuk sekolah persendirian Cina dalam Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan di Parlimen November.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button