Berita Utama

Malaysia perlu ada dasar bangunkan vaksin sendiri

Ramai pakar, tapi tak didedahkan latihan khusus, teknologi moden

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 27 Safar 1443H, Isnin – Malaysia perlu mempunyai dasar dan perancangan pembangunan vaksin bagi menghasilkan imunisasi sendiri untuk kegunaan rakyat.

Malah, pandemik COVID-19 yang berlaku sekarang boleh dijadikan sebagai titik tolak kepada negara untuk mempunyai fasiliti, kemahiran dan prasarana kajian vaksin.

Atas dasar itu, Presiden Ikatan Pengamal Perubatan dan kesihatan Muslimin Malaysia (I-Medik), Prof Dr Azizi Ayob berkata, perancangan pembangunan vaksin itu penting supaya tidak bergantung sepenuhnya kepada negara pengeluar vaksin.

“Apabila kita berjaya mengesan kes COVID-19 pertama, mendedahkan kita kepada keperluan mempunyai dasar dan perancangan pembangunan vaksin negara.

“Ia termasuk membangunkan infrastruktur kajian perubatan dan melatih individu berkemahiran tinggi serta fasiliti sesuai dalam membangunkan vaksin berskala,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam Bicara Halal Farmaseutikal ‘Bolehkah Malaysia Mengeluarkan Vaksin Halal?’ yang disiarkan secara langsung di Facebook Ustaz Amri Halal, malam tadi.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Pengarah, Institut Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi (IRDI), International Medical University (IMU) menjelaskan, perancangan ke arah pembangunan vaksin ini masih belum terlambat kerana evolusi kajian penyakit berjangkit sentiasa berlaku.

Malah, pusat kajian vaksin itu nanti bukan hanya tertumpu kepada kajian terhadap COVID-19 semata-mata.

Katanya, negara mempunyai ramai pakar berkaitan bidang ini.

Namun, kesemua itu perlu diberi latihan khusus serta pendedahan teknologi moden dalam pembangunan vaksin.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button