Berita Utama

Polis nafi dakwaan Klang bandar paling tak selamat

Maklumat indeks jenayah, keselamatan mengelirukan

SHAH ALAM, 27 Safar 1443H, Isnin – Laporan mendakwa Klang sebagai bandar paling tidak selamat serta miliki kadar keselamatan paling rendah di Asia Tenggara tidak benar dan mengelirukan banyak pihak.

Menafikan perkara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, maklumat yang dikeluarkan dalam artikel berbahasa Inggeris sehingga tular itu berkaitan indeks jenayah dan keselamatan tidak dapat dipastikan kesahihan serta sumbernya.

“Berita yang disiarkan itu adalah mengelirukan dan tidak benar sama sekali.

“Kaedah kajian secara kualitatif dan kuantitatif serta bilangan responden tidak menggambarkan keseluruhan masyarakat di daerah Klang.

“Mengikut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Selangor bermula 1 Januari hingga 30 September lalu, bagi jenayah kekerasan di daerah berkenaan melebihi nilai ambang sebanyak 31.76 kes atau bersamaan dengan 6 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Arjunaidi menjelaskan, kes melibatkan jenayah harta benda pula berada di bawah nilai ambang iaitu 195.44 kes atau bersamaan dengan 13 peratus.

“Secara keseluruhan, sepanjang tempoh berkenaan daerah Klang berada di bawah nilai ambang iaitu sebanyak 163.68 kes atau bersamaan dengan 8 peratus.

“Justeru, orang ramai dinasihatkan agar tidak gusar atau bimbang dengan laporan dikeluarkan portal berkenaan kerana tidak menggambarkan statistik dan fakta sebenar kejadian jenayah di daerah Klang,” tegasnya.

Sebelum ini, tular artikel di sebuah portal berbahasa Inggeris mendakwa Klang di tangga pertama sebagai bandar tidak selamat.

Malah, artikel itu turut mendakwa kadar keselamatan bandar Klang adalah paling rendah di Asia Tenggara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button