Berita Utama

Kerajaan Melaka tumbang: Lagi bukti pemimpin pentingkan diri demi kuasa

Patutnya akur dan sabar, tunggulah sehingga PRU15

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 28 Safar 1443H, Selasa – Kes jangkitan COVID-19 baru menunjukkan sedikit penurunan, krisis politik tercetus lagi, yang pastinya akan memberi kesan besar kepada peralihan kerajaan negeri.

Situasi ini seolah-olah bercanggah dengan titah Yang di-Pertuan Agong, yang menekankan supaya wakil rakyat memelihara kestabilan politik.

Hakikatnya, krisis di Melaka ketika ini memperlihatkan keperibadian pemimpin yang terlalu pentingkan diri sendiri dan sikap mahu kembali berkuasa.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Dr Jeneri Amir berkata, mereka terlalu ego dan langsung tidak mempedulikan prinsip perjanjian persefahaman (MoU) yang dimeterai antara kerajaan dan pembangkang di peringkat Persekutuan.

“Keadaan ini membuktikan mereka saling sangsi dan tidak boleh terima kenyataan selepas tidak lagi berkuasa.

“Konon jadi hero dan tunjukkan diri mereka lebih hebat daripada kepimpinan yang ada, ini semua tidak baik untuk kerajaan, rakyat hanya mahukan keharmonian.

“Sepatutnya mereka akur dengan perjanjian dan bersabar sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) nanti,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Semalam, Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, bersama tiga lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Bebas mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Tiga ADUN terbabit adalah Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Perkembangan ini secara teknikal menyaksikan kerajaan Melaka tumbang.

Mengulas lanjut, Prof Jeneri berkata, situasi yang berlaku ini akan menjadi rakyat muak dengan politik yang tidak matang dan merugikan masa.

“Dalam keadaan negara bergelut COVID-19, mereka sepatutnya berganding bahu bukannya tunjukkan sikap sebegini,” katanya.

Beliau yakin sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan, rakyat Melaka akan menolak pemimpin yang tidak matang seperti mereka.

“Rakyat kini mahu keamanan dalam keadaan ekonomi yang kalut bukannya mahu merumitkan keadaan sedia ada,” katanya.

Dewan Undangan Negeri Melaka mempunyai 28 kerusi dengan 14 kerusi Barisan Nasional (BN), Bersatu (2), DAP (7), PKR (2), Amanah (2) dan Bebas (1).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button