Berita Utama

Kerajaan Melaka tumbang: Pengumuman khas petang ini

Perbincangan dibuat secara panggilan telefon bersama Tun Mohd Ali

MELAKA, 28 Safar 1443H, Selasa – Krisis politik Melaka dijangka mencapai solusi selepas beberapa pihak mengadakan perbincangan dengan Yang di-Pertua Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam secara dalam talian.

Walaupun, Mohd Ali menjalani kuarantin kendiri selama tujuh hari bermula 30 September lalu, namun perbincangan sudah dilaksanakan menerusi panggilan telefon, malam tadi.

Sumber Istana Melaka berkata, pengumuman berkenaan dijangka dibuat Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Ab Rauf Yusoh kira-kira jam 3 petang ini.

“Difahamkan Mohd Ali sudah membuat keputusan hasil perbincangan itu dan ia akan diumumkan hari ini.

“Saya tidak pasti sama ada pengumuman akan dibuat Speaker DUN, Setiausaha Kerajaan Negeri atau Ketua Menteri. Tunggu saja jemputan untuk media nanti,” katanya seperti dilapor portal tempatan.

Krisis politik Melaka tercetus selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Bebas mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Mereka ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Perkembangan itu secara teknikal menyaksikan Kerajaan Melaka tumbang kerana hilang majoriti sokongan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button