Berita Utama

Menteri nafi KPM salur peruntukan kepada sekolah persendirian

Bertanggungjawab sepenuhnya kepada sekolah kerajaan

BANGI, 28 Safar 1443H, Selasa – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak pernah menyalurkan sebarang peruntukan kepada sekolah persendirian.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menjelaskan, KPM bertanggungjawab sepenuhnya kepada sekolah-sekolah kerajaan.

“Yang kedua, untuk sekolah bantuan kerajaan, kita sediakan bantuan peruntukan bagi pembayaran untuk tujuan tertentu seperti emolumen dan elaun guru, pemberian geran perkapita, bantuan utiliti, bantuan keselamatan dan kebersihan.

“Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) bukanlah sekolah kerajaan ataupun bantuan kerajaan,” katanya seperti dilapor media tempatan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pertanyaan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) mengenai berapa jumlah peruntukan kepada sekolah tahfiz selepas Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr Mah Hang Soon sebelum ini menyatakan sebanyak RM15 juta disalurkan kepada sekolah persendirian Cina.

Terdahulu, Presiden Dong Zong, Tan Tai Kim berkata, Kementerian Kewangan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM15 juta untuk 63 sekolah persendirian Cina di seluruh negara.

Perkara ini disahkan oleh Hang Soon.

Mengulas lanjut, Radzi berkata, SMPC ini adalah sekolah persendirian dan KPM tidak pernah menyalurkan sebarang peruntukan kepada sekolah persendirian.

“Ruang lingkup kena faham kerana ramai yang menganggap semua sekolah di negara ini peruntukannya datang daripada Kementerian Pendidikan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button