Berita Utama

Kerajaan Melaka tumbang: Gara-gara rebut ‘kuasa’, DAP paling untung

UMNO jatuhkan UMNO, ini cara nak perintah negara?

BANGI, 28 Safar 1443H, Selasa – Tidak mustahil PH-DAP kembali mengaut laba susulan tindakan tidak matang empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka menarik sokongan kepada kerajaan negeri sedia ada.

Terdahulu, bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, bersama tiga lagi ADUN Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Bebas mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Tiga ADUN terbabit adalah Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Keputusan itu berikutan ketidakyakinan mereka terhadap beberapa keputusan kerajaan negeri yang `flip-flop’ serta tidak dilaksanakan dengan sempurna.

Susulan terlibat dalam gerakan menjatuhkan kerajaan negeri Melaka sedia ada, keahlian UMNO Idris Haron dan Nor Azman tergugur secara automatik.

Menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, tindakan kedua-dua wakil rakyat itu juga jelas bertentangan dengan Perlembagaan parti.

Dalam hal ini, Pengerusi BERJASA Melaka, Muhammad Nazriq Abdul Rahman menegaskan peluang yang diberi kepada wakil rakyat sepatutnya digunakan untuk menyelesaikan masalah COVID-19, ekonomi dan sosial bukannya sibuk berpolitik serta saling menjatuhkan sesama sendiri.

“DAP yang paling untung atas situasi ini, dengan tujuh ADUN DAP majoriti dalam PH pasti mengidamkan kerajaan negeri Melaka sebelum ini.

“Dalam Fiqh Awlawiyat (keutamaan) sepatutnya empat ADUN itu menggunakan neraca syarak dalam membuat keputusan. Bukannya ikut neraca nafsu dan perancangan peribadi.

“Mereka patut memilih yang kurang mudarat daripada mudarat memilih bersama DAP dalam PH hanya semata-mata kepentingan peribadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, beliau meminta rakyat menolak serta tidak memberi sokongan kepada ahli politik yang mengutamakan diri sendiri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

“Orang UMNO sendiri yang jatuhkan Ketua UMNO sendiri di Melaka. UMNO Melaka gagal dalam menyelesaikan masalah dalaman mereka sendiri. Ini rupa nak kembali perintah negara?,” sinisnya.

Sebelum penarikan sokongan keempat-empat ADUN terbabit, UMNO memiliki 14 kerusi manakala Bersatu (2) dan Bebas (1) sementara PH mempunyai 11 kerusi.

Bagaimanapun, dengan penarikan sokongan empat ADUN terbabit, UMNO sekarang hanya mempunyai 12 kerusi manakala Bersatu (1).

Sekiranya keempat-empat mereka sah menyertai PH, maka PH mempunyai 15 kerusi sekali gus menjadi majoriti.

Setakat petang ini, difahamkan DUN Melaka sudah dibubarkan berkuat kuasa semalam.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button