Berita Utama

EU kecam provokasi biadab hina al-Quran

Perbuatan keji hanya pecah belahkan masyarakat

LONDON, 9 Muharram 1445H, Khamis – Kesatuan Eropah (EU) pada Rabu mengecam siri penghinaan terhadap al-Quran di Sweden dan Denmark, baru-baru ini.

Ketua Dasar Luar EU, Josep Borrell dalam kenyataan mengulangi penolakan tegas terhadap sebarang bentuk hasutan kepada kebencian dan sikap tidak bertoleransi agama, selain menekankan mengenai kepentingan menghormati kepelbagaian serta komuniti agama lain.

“Pencemaran al-Quran atau mana-mana kitab lain yang dianggap suci, adalah menyinggung perasaan, tidak menghormati dan provokasi yang jelas.

“Ungkapan perkauman, xenofobia dan sikap tidak bertoleransi yang berkaitan tidak mempunyai tempat di Kesatuan Eropah,” katanya.

Menggesa untuk saling memahami dan menghormati, Borrell berkata, perbuatan yang dilakukan pencetus provokasi hanya menguntungkan mereka yang mahu memecahbelahkan masyarakat.

Beberapa bulan kebelakangan ini, perbuatan membakar atau mencemarkan al-Quran serta cubaan berbuat demikian berulang kali dicetuskan oleh tokoh serta kumpulan Islamofobia, terutamanya di negara Eropah utara dan Nordik.

Perbuatan keji itu sekali gus telah menimbulkan kemarahan daripada negara Islam dan seluruh masyarakat antarabangsa.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button