Berita Utama

Arak: Jangan campur aduk isu asas dalam agama dengan politik

Jika tak mampu cegah kemungkaran, jangan pula anggap ia betul

BANGI, 9 Rabiulakhir 1442H, Rabu – Isu asas dalam agama Islam sama sekali tidak boleh dicampur adukkan dengan kira-kira politik, kata Penolong Setiausaha Majlis Ulama ISMA (MUIS), Ustaz Ahmad Syamil Mohd Esa.

Justeru, pemimpin politik lebih-lebih lagi yang menjunjung nama Islam perlu sedar dan cakna supaya tidak membawa satu bentuk kefahaman yang celaru dalam menterjemahkan Islam di peringkat kenegaraan. 

Ini kerana, kekeliruan dalam meletakkan letak duduk sesuatu isu boleh mengundang salah faham yang besar di dalam masyarakat, apatah lagi jika melibatkan perkara asas dalam beragama. 

“Misalnya dalam isu arak, ia bukan sepatutnya ditanggapi dengan perspektif sama ada ‘arak’ itu berhak diminum oleh bukan Islam atau tidak, seperti yang diutarakan oleh seorang pemimpin politik. 

“Sepatutnya ia perlu berdiri atas noktah yang disepakati bahawa ia adalah jenayah yang merosakkan, lalu menyatakan langkah yang sewajarnya yang melibatkan kira-kira keuntungan dan kerugian terhadap negara tanpa menyentuh perkara asas dalam syariah,” katanya dalam satu kenyataan.  

Beliau berkata demikian dipercayai merujuk kepada kecaman segelintir pihak yang membantah garis panduan terbaharu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenai penjualan minuman keras bermula tahun. 

Ustaz Syamil berkata, menyatakan kemungkaran sesuatu perkara adalah termasuk dalam bab ilmu, adapun menegah kemungkaran itu boleh dikatakan dalam bab amal.

“Jika seseorang tidak mampu menegah kerana kekangan tertentu, jangan pula jadikan ketidakmampuannya itu adalah satu perkara yang betul. 

“Dia perlu nyatakan ia tetap mungkar, namun untuk menegahnya memerlukan kemampuan pada skala tertentu atau pun ‘fiqh’ yang tertentu seperti menolak kemudaratan yang lebih besar, memikirkan maslahat yang lebih besar dan seumpamanya,” katanya menegur pendirian Hanipa.

Justeru, beliau berkata, demikian perihalnya dalam isu yang melibatkan segala kesalahan daripada sudut syariah seperti judi dan arak. 

Tegasnya, umat Islam perlu bertegas menyatakan ia adalah satu bentuk kesalahan yang merosakkan masyarakat secara keseluruhannya.

“Allah SWT tidak memperakui keabsahan sebarang bentuk jenayah itu sama ada ia arak ataupun judi, dengan dalil-dalil yang jelas dan tidak dipertikaikan lagi. 

“Seseorang itu tidak boleh dikatakan mempunyai hak untuk melakukan sebarang kesalahan, hatta hak untuk kafir pun tidak boleh disebut ia sebagai hak.

“Ini kerana, hak itu berdiri di atas kebenaran dan keadilan, dan mustahil sesuatu kesalahan boleh dikira sebagai kebenaran dan adil kerana sifat sesuatu kesalahan adalah kezaliman,” katanya.

Menjelaskan pandangan itu, Ustaz Syamil memetik hadis Rasulullah ﷺ yang bermaksud: “Apabila ada sahabat yang ingin membunuh orang munafik: “Janganlah hingga ada orang menyatakan bahawa Muhammad itu membunuh sahabatnya”. 

“Difahami daripada hadis ini, Rasulullah ﷺ  tidak menyatakan bahawa orang munafik itu tidak layak dibunuh, tetapi baginda ﷺ melarang untuk munafik itu dibunuh kerana sebab perkiraan-perkiraan bersifat politikal yang membawa kepada untung rugi pada skala umat Islam yang lebih besar,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button