Pendapat

Russia lancar peluru berpandu hipersonik pertama dari kapal selam nuklear Yasen-Class

Sejauh manakah pakatan Russia-China turut terjalin dalam konteks Laut China Selatan?

1. KETIKA kita di Malaysia dan kuasa besar sibuk membahaskan pakatan kapal selam nuklear AUKUS Australia-UK-US, Russia hadir mengejutkan dengan ujian peluru berpandu hipersonik terbaru sekali gus menegaskan reputasi mereka sebagai kuasa nuklear yang paling terkehadapan.

2. Dengan sembilan kali ganda kelajuan bunyi, peluru berpandu hipersonik Zircon kali ini dilancarkan buat pertama kalinya melalui kapal selam nuklear Rusia Yasen-Class Severodvinsk.

3. Kejayaan ujian ini hadir tidak lama selepas pertemuan antara Presiden Russia Vladimir Putin dengan Presiden Turki Recep Tayyib Erdogan di mana Turki memberi isyarat jelas untuk meneruskan fasa seterusnya pembelian sistem peluru berpandu pertahanan udara S-400 Rusia.

4. Secara tersiratnya, kejayaan ujian Zircon ini memberi isyarat jelas kepada kuasa Barat tentang tiga perkara: pertama, mereka tidak seharusnya memandang Moscow sebelah mata di Laut Hitam dan Crimea; kedua, Barat perlu berfikir banyak kali jika mereka berhasrat untuk mensabotaj dua projek paip gas gergasi Nord Stream 2 dan Turkstream; ketiga, Barat perlu memasukkan perkiraan baru dalam percaturan mereka terhadap China, sekutu mesra Moscow, di Laut China Selatan.

5. Sebelum ini Russia pernah beberapa kali menguji peluru berpandu Zircon ini melalui kapal frigate Tentera Laut Rusia. Dijangkakan ia akan diserapkan dalam perkhidmatan pada tahun 2022.

6. Dengan rekod Rusia setakat ini yang berhasil mempertahankan rejim Bashar al-Assad di Syria daripada ditumbangkan pakatan Amerika-NATO, penyerapan peluru berpandu hipersonik Zircon ini tentulah turut memberi harapan kepada negara-negara lain yang tidak mesra Barat seperti Venezuela dan Cuba.

7. Menjadi persoalan kita di Malaysia kini ialah sejauh manakah pakatan Russia-China akan turut terjalin dalam konteks Laut China Selatan dan apakah impaknya kepada kepentingan strategik kita?

Abdul Muein Abadi
Penyelidik PhD Faculty of Governance and Global Affairs
Leiden University, Belanda

Artikel ini telah disiarkan terlebih dahulu di Facebook penulis

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button