Berita Utama

SMPC: Tindakan kerajaan salur dana RM15 juta salah

Setiap tindakan haruslah patuh dan ikut Perlembagaan

BANGI, 28 Safar 1443H, Selasa – Kebimbangan PEMBELA terhadap tindakan kerajaan meluluskan peruntukan khas berjumlah RM15 juta kepada sekolah persendirian Cina di seluruh negara tidak boleh dipandang ringan.

Sebelum ini, Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, kerajaan telah memberi isyarat salah kepada rakyat berhubung perkara itu seolah-olah undang-undang yang ada boleh dilanggar.

Sepatutnya kerajaan tidak melayan tuntutan yang dibuat oleh sekolah-sekolah terbabit kerana ia hanya akan menggalakkan lagi mereka untuk menuntut perkara lain pada masa akan datang.

“Kita nak lihat di bawah peruntukan mana dana ini boleh diberikan, dalam akta dan fasa mana dalam Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan kelulusan ini dibuat…sebab ini sekolah swasta yang dibuat oleh NGO.

“Jadi, itu bagi saya sudah macam melanggar akta Perlembagaan dan sebenarnya kerajaan memang tak boleh bagi pun…tapi, seperti biasalah bila ditetapkan oleh orang politik menyebabkan kerajaan beri peruntukan itu,” katanya.

Tuntutan gabungan NGO Islam itu untuk memohon pihak kerajaan memperjelaskan mengenai hala tuju pendidikan negara yang ada kaitan terus dengan sekolah swasta turut mendapat sokongan Majlis Perundingan Melayu (MPM).

Menerusi satu kenyataan, Pengerusi Biro Politik MPM, Shahbudin Embun berkata, kekhuatiran PEMBELA terhadap sesuatu isyarat salah kerajaan (wrong signal) yang dilakukan kerajaan tidak boleh dipandang ringan.

Beliau mengingatkan pihak kerajaan bahawa setiap tindakan harus sentiasa mengikuti dan mematuhi peruntukan Perlembagaan negara dan undang-undang bagi mencapai matlamat satu Keluarga Malaysia yang diinginkan.

“Pihak MPM memang menyokong kerajaan Keluarga Malaysia ini tetapi kami terpaksa menegur awal pada kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Kita harap setiap keputusan dasar yang menyentuh kepentingan Melayu dan Bumiputera mesti diutamakan,” katanya.

Terdahulu, Presiden Dong Zong, Tan Tai Kim berkata, Kementerian Kewangan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM15 juta untuk 63 sekolah persendirian Cina di seluruh negara.

Perkara ini disahkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Mah Hang Soon.

Tanpa segan silu, Tai Kim turut menceritakan proses untuk mendapatkan dana tersebut – yang mana Presiden MCA, Wee Ka Siong telah menulis surat kepada Kementerian Kewangan memohon peruntukan untuk SMPC.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button