Berita Utama

Ali Rustam terburu-buru bubar DUN, dakwa PH Melaka

Tak wajar pemimpin hilang kepercayaan dilantik KM 'caretaker government'

BANGI, 29 Safar 1443H, Rabu – Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam sewajarnya tidak bertindak terburu-buru dalam membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari berkata, sepatutnya Mohd Ali mendengar pandangan daripada majoriti ADUN serta empat yang tidak menyokong kerajaan, sebelum membuat sebarang pertimbangan mengenai perkara itu.

Bahkan beliau berpandangan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali tidak lagi mempunyai kepercayaan majoriti dan tidak wajar menasihat Yang di-Pertua Negeri bagi membubarkan DUN Melaka ke-14 khususnya dalam situasi pandemik COVID-19.

“Pilihan Raya Negeri Sarawak telah ditangguhkan atas alasan yang sama. Ini jelas mempamerkan sikap ketidak bertanggungjawaban ketua menteri.

“TYT juga sewajarnya tidak bertindak terburu-buru membubarkan DUN sebelum mendengar pandangan majoriti ADUN dan empat ADUN yang tidak lagi bersama kerajaan,” katanya seperti dilapor media tempatan hari ini.

Pada masa sama, PH Melaka berpandangan adalah tidak wajar seorang pemimpin yang telah hilang kepercayaan dibenarkan menjadi Ketua Menteri ‘Kerajaan Caretaker’.

Jelas Adly lagi, berbeza dengan situasi yang dihadapinya ketika hilang kepercayaan sebagai Ketua Menteri pada Mac 2020.

“Mengambil kira apa yang berlaku pada 2 Mac 2020 sebagai ‘precedent case’, apabila saya hilang kepercayaan sebagai Ketua Menteri Melaka.

“Tugas pentadbiran Kerajaan Negeri dipertanggungjawabkan kepada YB Setiausaha Kerajaan Negeri sehingga Ketua Menteri baharu dilantik.

“PH Melaka berpandangan kepada apa yang berlaku mempamerkan bahawa ‘norma-norma biasa’ tidak dilaksanakan oleh Pentadbiran Tertinggi Negeri dalam menangani krisis politik kali ini,” katanya.

Justeru, PH Melaka akan mempercepatkan proses perundangan bagi memastikan keabsahan kerajaan sementara (caretaker goverment) susulan pembubaran DUN Melaka.

Kemelut politik di Melaka tercetus selepas empat ADUN Melaka menarik sokongan kepada kerajaan negeri sedia ada.

Terdahulu, bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, bersama tiga lagi ADUN Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Bebas mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Tiga ADUN terbabit adalah Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Keputusan itu berikutan ketidakyakinan mereka terhadap beberapa keputusan kerajaan negeri yang `flip-flop’ serta tidak dilaksanakan dengan sempurna.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button