Pendapat

Bubar Parlimen untuk selesaikan kemelut politik negara!

Rakyat sudah terlalu muak dengan drama tamak haloba, perebutan kuasa

CADANGAN membubarkan Dewan Undangan Negeri untuk menyelesaikan kemelut politik negeri adalah satu sudut pandang yang menarik.

Sekiranya kita ‘upgrade’ kan cadangan tersebut ke tahap yang lebih tinggi, ia akan menjadi seperti berikut:

Bubar Parlimen untuk selesaikan kemelut politik negara!

Sebab apa?

Sebab rakyat sudah terlalu muak dengan drama tamak haloba dan perebutan kuasa, saling jatuh menjatuhkan, muslihat dan tipu helah politik, pengkhianatan terhadap mandat dan kepercayaan rakyat, prinsip dan pendirian yang senang digadaikan atau dijual beli pada harga terendah, pengabaian maslahat rakyat, perlecehan terhadap hak-hak bangsa dan keutamaan kepada pengkayaan diri sendiri, keluarga, kelompok, kroni dan para penjilat.

Rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan sudah menjadi habuan dan matlamat utama penglibatan di dalam medan politik, walaupun masing-masing dan semuanya mendabik dada kononnya memperjuangkan kepentingan rakyat, bangsa, dan umat serta prinsip-prinsip ketelusan, urus tadbir, keadilan, kesamarataan dan amar makruf nahi mungkar.

Pilihan raya umum adalah mekanisma terbaik untuk mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih mereka yang benar-benar mewakili kepentingan umat, bangsa dan negara, walaupun kita sudah terlalu ketandusan calon-calon yang benar-benar berwibawa dan jujur.

Walaubagaimanapun, rakyat Malaysia tidak mempunyai banyak pilihan oleh kerana hampir semua calon yang pernah bertanding (sama ada kalah atau menang) adalah individu-individu kitar semula, yang lahir dari lubuk politik yang sama selama 60 tahun lebih.

Yang membezakan hanyalah kadar kebobrokan atau kenajisan mereka sahaja.

Kita memerlukan tempoh satu generasi atau satu kurun lagi untuk membina kembali tamadun bangsa, umat dan rakyat yang benar-benar faham apa itu amanah, tanggungjawab dan keikhlasan.

Sementara menunggu zaman atau fasa yang lebih meyakinkan itu, kita terpaksa bersabar dengan perangai dan tabiat makhluk politik (homo politicus) yang berkiblatkan hawa nafsu di dalam gelanggang politik hari ini.

Spesis seperti ini memang ramai.

Mohd Luttfi Abd Khalid
Pengerusi iPeguam/Pemerhati politik

Artikel ini telah disiarkan terlebih dahulu di Facebook penulis.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button