Berita Utama

Konsert Siti Nurhaliza: Pandangan Mufti P. Pinang wajar, tak perlu dipolemikkan

PERKID saran adakan forum muzakarah babit pemegang taruh bincang garis panduan konsert

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 10 Rejab 1445H, Isnin – Pandangan disuarakan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor mengenai penganjuran konsert ‘Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza’, yang dijadualkan berlangsung pada 9 Mac depan, tidak seharusnya dipolemikkan.

Presiden PERKID, Ustaz Masridzi Sat berkata, kenyataan Wan Salim itu wajar kerana beliau bukan menghalang konsert tersebut diadakan sebaliknya menggesa menghormati bulan suci Ramadan.

Bahkan, Mufti Pulau Pinang tidak perlu memohon maaf kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Yayasan Nurjiwa di atas pandangan beliau yang didakwa segelintir pihak ‘menyekat periuk nasi anak seni’.

“Bagi saya kenyataan itu wajar. Tapi yang kita hairannya mengapa Mufti Pulau Pinang yang berbunyi? Sepatutnya semua mufti, terutama sekali kalau konsert itu berlaku di Kuala Lumpur tentulah Mufti Wilayah Persekutuan sendiri atau yang dekat Mufti Selangor.

“Dari sudut keseragaman para mufti untuk menegur perkara-perkara berkaitan hiburan ini seolah-olah tidak ‘valid’,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai penganjuran konsert penyanyi tersohor itu di Axiata Arena, Bukit Jalil yang diadakan terlalu hampir dengan bulan Ramadan.

Mengulas lanjut, Masridzi berkata, polemik yang berlaku ini menampakkan perlunya diadakan forum muzakarah membabitkan semua pemegang taruh bagi membincangkan garis panduan konsert yang dibenarkan syariat Islam dan bercanggah.

Baginya, perkara itu perlu dijelaskan supaya para artis tanah air mengetahui matlamat tidak menghalalkan cara dan setiap konsert diadakan mesti mematuhi syariah.

“Ini penting kerana rakyat sedang keliru sekarang,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button