Berita Utama

Semua rakyat Malaysia didaftar sebagai pemilih secara automatik

Rakyat Sabah, Sarawak dinasihat tukar alamat berdasar tempat kediaman

KUALA LUMPUR, 29 Safar 1443H, Rabu – Setiap rakyat Malaysia, termasuk mereka yang tinggal di luar negara, akan didaftarkan secara automatik sebagai pemilih, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Beliau berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkomitmen untuk melaksanakan pendaftaran pemilih secara automatik bersama Undi18 pada 31 Disember, selari dengan keputusan penting Mahkamah Tinggi Kuching pada 3 September.

“Setiap warganegara Malaysia akan didaftarkan sebagai pemilih secara automatik, termasuk mereka yang tinggal di luar negara,” katanya di Parlimen semasa sesi soal jawab sebagai respons kepada Maria Chin Abdullah (PH-Petaling Jaya) pada hari ini.

Sementara itu, Mas Ermieyati berkata, pengundian melalui pos hanya untuk pegawai SPR, tentera, polis dan anggota media yang bekerja pada hari pilihan raya serta penjawat awam daripada pelbagai agensi kerajaan.

Undian pos juga akan dibenarkan bagi rakyat Malaysia yang tidak dapat hadir untuk memberikan undi, dan ini termasuk pelajar yang belajar di luar negara dan penjawat awam yang ditempatkan di luar negara, katanya.

Bagaimanapun, undi pos tidak dibenarkan untuk orang Sabah dan Sarawak yang tinggal di Semenanjung serta rakyat Malaysia yang tinggal di Brunei, Singapura, Kalimantan di Indonesia dan selatan Thailand, katanya.

“Bagi pengundi Sabah dan Sarawak yang tinggal di Semenanjung Malaysia, SPR menasihati mereka untuk menukar alamat berdasarkan tempat kediaman,” katanya.

Pada 3 September, Mahkamah Tinggi Kuching memerintahkan Putrajaya untuk melaksanakan Undi18 selewat-lewatnya pada 31 Disember, bersama dengan pendaftaran pemilih automatik.

Pada bulan Julai 2019, Parlimen meluluskan pindaan Perlembagan untuk menurunkan usia layak mengungi dari 21 kepada 18 tahun dan untuk membolehkan pendaftaran pemilih automatik.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button