Berita Utama

Tangguh PRN, isytihar darurat di Melaka

Syor UMNO tampil muka baru PRU akan datang

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 29 Safar 1443H, Rabu – Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak sesuai dilaksanakan memandangkan penularan pandemik COVID-19 masih di tahap membimbangkan.

Jika dilaksanakan juga, pakar tidak menolak kemungkinan kes akan terus melonjak dan rakyat terpaksa melalui fasa-fasa getir seperti PRN Sabah tahun lalu.

Atas sebab itu, penganalisis politik, Dr Syed Agil Syed Alsagoff berpandangan, PRN Melaka perlu ditangguhkan – dengan melibatkan pengisytiharan darurat – sehingga ke suatu tarikh yang difikirkan sesuai dan selamat untuk diadakan.

Namun, andai kata pelaksanaan PRN Melaka tetap tidak dapat dielakkan dalam masa terdekat, Syed Agil menyarankan UMNO mengemukakan calon baharu dalam pilihan raya akan datang.

Tindakan itu dilihat wajar bagi mengelakkan perkara yang berlaku pada kerajaaan negeri diterajui BN sebelum ini berulang.

Terdahulu, kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali tumbang selepas empat ADUN kerajaan termasuk bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, mengumumkan hilang kepercayaan kepada kepemimpinan beliau.

Tiga ADUN yang lain adalah Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Keputusan itu berikutan ketidakyakinan mereka terhadap beberapa keputusan kerajaan negeri yang `flip-flop’ serta tidak dilaksanakan dengan sempurna.

Syed Agil berkata, sekiranya muzakarah dalam pimpinan UMNO Melaka gagal, maka UMNO harus bersedia menempatkan muka-muka baru dalam PRN.

Antaranya yang boleh memberi khidmat terbaik kepada rakyat dan negeri itu, katanya.

“Sentiasa memegang amanah untuk menjalankan tugas sebagai wakil rakyat dengan cekap, menjaga kepentingan rakyat dalam apa juga keadaan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Bagaimanapun yang paling penting katanya, calon tersebut tidak melompat ke parti lain semata-mata kepentingan politik peribadi atau memperoleh keuntungan di pihak parti lain.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button