Berita Utama

Tarik balik peruntukan RM15 juta kepada sekolah persendirian Cina

Dana patut digunakan baiki sekolah yang patuh sistem kebangsaan

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 29 Safar 1443H, Rabu – Peruntukan khas RM15 juta yang diberikan kepada sekolah persendirian Cina di seluruh negara jelas menyalahi peraturan dan Perlembagaan Persekutuan.

Tambahan pula, banyak Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) yang kelihatan mewah dan sedia dibantu oleh ‘tauke-tauke’ kaya berbanding ratusan institusi pondok dan tahfiz yang masih tetap menghayati sistem pendidikan kebangsaan namun kekal daif.

Lebih menghayat hati banyak yang terjejas dan bermungkinan ditutup akibat pandemik COVID-19 yang sedang dihadapi.

Atas sebab itu, Majlis Perundingan Melayu (MPM) menggesa kerajaan segera menarik balik peruntukan berkenaan bahkan bertegas dan tidak tunduk kepada sebarang ugutan, sebaliknya menghormati keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Pengerusi Biro Pembangunan Ummah dan Komuniti MPM, Kamal Shukri Abdullah Sani berkata, walaupun mungkin jika dikaitkan dengan konsep Keluarga Malaysia, jelas hal itu kurang tepat.

“Konsep ‘Keluarga Malaysia’ pastinya tidak termasuk konsep SMPC tersebut.

“Manakan boleh diumpamakan jadi satu keluarga kalau dalam banyak hal jelas pihak berkenaan degil dan melawan induk ketua keluarga, tidak mahu bersama-sama bersatu hati membina satu dasar dan falsafah kebangsaan demi keluarga bahagia yang harmoni.

“…berucap dalam keluarga dengan satu bahasa yang sama dalam rumah tangga yang sama, menghormati Perlembagaan dan undang-undang sedia ada,” katanya dalam kenyataan kepada Ismaweb.net.

Mengulas lanjut, beliau berkata, peruntukan tersebut sepatutnya digunakan untuk membaiki sekolah yang patuh mengikuti sistem kebangsaan.

“…seperti sekolah kebangsaan sendiri yang masih daif dan banyak fizikal bangunannya teruk, atap yang bocor dan dinding penuh berlubang,” katanya.

Terdahulu, Presiden Dong Zong, Tan Tai Kim berkata, Kementerian Kewangan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM15 juta untuk 63 sekolah persendirian Cina di seluruh negara.

Perkara ini disahkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Mah Hang Soon.

Tanpa segan silu, Tai Kim turut menceritakan proses untuk mendapatkan dana tersebut – yang mana Presiden MCA, Wee Ka Siong telah menulis surat kepada Kementerian Kewangan memohon peruntukan untuk SMPC.

Peliknya, pengesahan itu bercanggah dengan kenyataan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin bahawa Kementerian Pendidikan tidak pernah menyalurkan sebarang peruntukan kepada sekolah persendirian.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button