Berita Utama

Kes Adib diibarat beri harapan palsu kepada keluarga

Sudah separuh jalan berlalu, banyak masa terbuang

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 30 Safar 1443H, Khamis – Tempoh tiga tahun menunggu perbicaraan dalam mencari keadilan bukan masa yang pendek dan selama itulah ia diibarat seperti memberi harapan palsu kepada keluarga bekas anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Mohd Nor Izzat Johari berharap, kes ini kembali dibuka dan tidak dibiarkan tergantung tanpa keadilan walaupun kerajaan memberi jaminan untuk mengambil tindakan sewajarnya.

“Kita tidak patut berhenti di sini sahaja, sudah separuh jalan berlalu dan banyak masa terbuang dan pengorbanan banyak pihak dilakukan untuk mencari keadilan tapi sehingga kini tiada jawapan.

“Carilah keadilan, jangan tinggalkan harapan palsu kerana ini soal nyawa dan maruah, bukan perkara kecil yang boleh diabaikan begitu saja.

“Saya terbayang ahli keluarga dan ibu bapa arwah yang setia menunggu keadilan walaupun hanya keperitan yang mereka harungi hari ini,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Turut senada Presiden Pertubuhan Pembangunan dan Inovasi Wanita (WADI), Sukmamurni Abdul Manaf yang mahu keadilan dalam penyelesaian kes berkenaan.

Malah, WADI menggesa keseriusan pihak berkuasa untuk membawa penjenayah yang terlibat ke muka pengadilan seterusnya memberi keadilan kepada keluarga arwah Muhammad Adib terutama kedua orang tuanya.

Selain itu, katanya, pihak berkuasa perlu buktikan komitmen dalam mempertahankan kedaulatan undang-undang.

“Jangan tunduk kepada tekanan politik, perkauman kerana ia adalah perkara asas dalam hak sebagai warganegara untuk diadili sebaiknya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button