Berita Utama

88.8 peratus populasi dewasa divaksinasi penuh setakat Rabu

94.6 peratus populasi dewasa terima sekurang-kurangnya satu dos vaksin

KUALA LUMPUR, 30 Safar 1443H, Khamis – Sebanyak 20,786,568 individu atau 88.8 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan vaksinasi COVID-19 masing-masing setakat semalam.

Perkembangan terbaharu itu menjadikan sasaran untuk mencapai 90 peratus populasi dewasa lengkap divaksinasi kini tinggal 1.2 peratus.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan menerusi portal COVIDNOW, 94.6 peratus atau 22,135,242 individu daripada populasi dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Pada 22 Sept lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata aktiviti merentas negeri akan dibenarkan apabila 90 peratus golongan dewasa telah melengkapkan vaksinasi COVID-19 mereka.

Setakat semalam juga, sebanyak 129,152 atau 4.1 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19.

Selain itu, sebanyak 209,907 dos suntikan vaksin turut diberikan semalam melibatkan 113,441 dos pertama dan 96,466 dos lengkap, menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancar pada 24 Feb lepas meningkat kepada 45,007,832 dos.

Sementara itu, dua kes kematian harian akibat COVID-19 dilaporkan semalam dengan kedua-duanya membabitkan kematian di hospital menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian kini 26,981. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button