Berita UtamaDunia

Eropah harus dipersalah atas krisis tenaga global, kata Putin

Kenaikan harga gas catat paras tertinggi semalam cetus kebimbangan inflasi

MOSCOW, 30 Safar 1443H, Khamis – Presiden Russia, Vladimir Putin mengatakan bahawa Eropah harus dipersalahkan atas krisis tenaga yang sedang berlaku, sambil menolak dakwaan bahawa Moscow menahan bekalan gas untuk menekan Barat.

“Mereka yang melakukan kesalahan.

“Ternyata, dan hari ini benar-benar jelas, bahawa dasar ini salah. Kesalahan itu termasuk pemberhentian kontrak jangka panjang yang kononnya memihak kepada pasaran,” kata Putin dalam pertemuan bersama pegawai tenaga Russia, semalam.

Putin juga menyebut mengenai peralihan Eropah ke tenaga hijau dan pelaburan rendah dalam industri pengekstrakan.

Dalam kenyataan lain, beliau menyatakan bahawa Russia meningkatkan bekalan gas ke Eropah dan bersedia untuk menstabilkan pasaran.

Harga gas di Eropah melonjak lebih daripada 25 peratus di tengah permintaan yang semakin meningkat sebelum musim sejuk.  

Kenaikan harga yang mencatat paras tertinggi pada hari Rabu mencetuskan kebimbangan inflasi, menyebabkan ekuiti merosot kerana pelabur bimbang harga lebih tinggi dapat membantut pemulihan ekonomi global.

Washington dan beberapa sekutu Eropahnya sebelum ini menuduh Moscow sengaja mengehadkan bekalan gas ke Eropah dalam usaha mempercepatkan pelancaran Nord Stream 2, saluran paip yang menghubungkan Russia dengan Jerman.

Bagaimanapun, jurucakap Putin, Dmitry Peskov membantah dakwaan itu.  

“Pertama dan terpenting, kami menegaskan bahawa Russia tidak dan tidak boleh berperanan dalam apa yang sedang berlaku di pasaran gas Eropah.”

“Russia telah memenuhi, akan memenuhi dan akan terus bertanggungjawab memenuhi semua kewajibannya berdasarkan kontrak yang ada,” katanya.

Bulan lalu, syarikat gergasi tenaga Russia, Gazprom mengumumkan bahawa saluran paip 10 bilion euro (AS$12 bilion) telah siap.  

Kremlin mengatakan pelancarannya akan membantu memerangi krisis tenaga di Eropah. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button