Pendapat

Krisis politik Melaka: Apa peranan rakyat?

Guna kuasa undi naikkan calon berwibawa dan boleh diharap

1. PERGOLAKAN politik yang berlaku di Melaka dalam tempoh seminggu ini menguatkan lagi bacaan bahawa tidak banyak yang boleh diharapkan dari ahli politik hari ini. Mereka yang sepatutnya menjadi benteng dan cerucuk dalam masyarakat menjaga kestabilan dan memacu kemajuan ternyata tidak mampu pun untuk mengawal nafsu dan agenda peribadi mereka sendiri.

2. Tanpa menafikan bahawa masih ramai lagi yang baik dan boleh diharap, tetapi pengaruh dan kuasa nampaknya berada di tangan yang tidak boleh diharap. Dan begitulah congak mudahnya, dunia adalah medan perebutan pengaruh; yang lemah akan sentiasa mengikut yang kuat. Ia bukan medan di mana kebenaran akan sentiasa memimpin. Kebenaran sendiri perlu kepada kekuatan untuk memposisikan dirinya di atas.

3. Lompat melompat parti hingga tumbang kerajaan atau setidaknya goyah jika tidak tumbang, nampaknya sudah jadi normal dalam dunia politik. Akan berlaku tidak lama lagi kesetiaan kepada parti dianggap sebagai keganjilan dan mungkin menjadi tanda ahli politik itu tidak faham politik. Tiada lagi istilah wakil rakyat kerana mereka sebenarnya hanya mewakili diri mereka sendiri.

4. Sudah sampai waktunya untuk kita berfikir dalam kerangka pentadbiran negara yang baru. Sistem memilih pemimpin melalui pilihan raya mungkin sesuai satu ketika dahulu ketika masih ramai calon pemimpin yang berjiwa bersih dan setia kepada perjuangan dan maslahat negara. Tetapi bila wang menjadi paksi kesetiaan, pemilihan melalui pilihan raya tidak akan lagi menjamin lahirnya barisan kepimpinan yang boleh diharap. Ia seterusnya berpotensi pula menjadi penghalang kepada kestabilan negara.

5. Berbalik kepada Melaka, saya rasa tidaklah ada keperluan untuk sesiapa pun berkempen agar diadakan pilihan raya negeri. Waktu yang pendek untuk berkempen, hanya memberi lebih peluang kepada pemain politik sedia ada. Akhirnya yang naik muka-muka itu sahaja, cuma mungkin posisinya sahaja bertukar. Pemain belakang mungkin jadi pemain hadapan. Pemain simpanan mungkin akan jadi pemain utama. Tiada jaminan bahawa struktur baru itu akan membawa apa-apa perubahan positif.

6. Jika ada peruntukan di dalam Perlembagaan, mungkin lebih baik digantung sahaja kerajaan negeri (jika itu istilah yang sesuai). Lantik satu kumpulan pentadbir sementara dari kalangan pentadbir awam dan tokoh masyarakat untuk mentadbir negeri dalam tempoh masa yang sebenarnya berbaki tidak lama sebelum negara masuk ke PRU15.

7. Berikan masa kepada parti untuk menguruskan masalah dalaman parti di samping mengambil tindakan tegas terhadap ahli-ahli dewan undangan negeri mereka yang telah melompat parti. Melompat parti itu satu pengkhianatan terhadap parti. Tetapi menimbulkan ketidakstabilan dalam pentadbiran negeri tanpa sebab yang munasabah adalah pengkhianatan terhadap rakyat negeri Melaka. Mereka telah menyusahkan ramai orang, jadi eloklah kita susahkan mereka dengan menghalang mereka dari mencapai niat jahat mereka. Alang-alang susah, biar sama-sama susah.

8. Kepada rakyat, marilah kita berfikir dari sekarang untuk menggunakan kuasa undi yang ada di tangan masing-masing untuk menaikkan calon yang benar-benar berwibawa dan boleh diharap. Ambil langkah proaktif. Selain dari mengundi semua orang juga boleh berkempen untuk memastikan calon yang naik adalah yang baik-baik sahaja.

9. Mari kita perhatikan sekurang-kurangnya ciri berikut ada atau tidak pada calon PRU akan datang.

i. Setia terhadap negara dengan menjunjung segala Perlembagaan dan budayanya. Tidak menjadi proksi kepada kuasa Barat atau Timur.

ii. Rekod yang baik sebagai warganegara tanpa sebarang kesalahan jenayah atau salah laku yang menjatuhkan maruah sebagai manusia.

iii. Seorang yang kompeten untuk melaksanakan tugasan dan tanggungjawab yang dipikulkan atasnya.

iv. Prihatin terhadap nasib rakyat dan berusaha untuk kebaikan rakyat melebihi kepentingan dirinya sendiri.

10. Jangan kita ambil sikap menuding jari kepada pemimpin negeri atau negara yang sebenarnya naik melalui undi yang kita berikan dengan tangan-tangan kita.

Pemimpin yang naik adalah cerminan manusia yang mengundinya.

Wallahul Musta’an

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button