Berita Utama

Lagi kes ceroboh tanah, bina kuil secara haram

Rakan beragama Hindu, agamawan diminta sensitif isu ini

BANGI, 30 Safar 1443H, Khamis – Timbul kekesalan apabila kes pencerobohan tanah untuk pembinaan kuil secara haram berlaku silih berganti.

Terbaharu, dilaporkan bahawa terdapat satu lagi kes pembinaan kuil secara haram di atas sebidang tanah milik Yayasan Kubra di Rawang Perdana.

Walhal, tanah itu dikhususkan untuk pembinaan rumah kebajikan Pembangunan dan Pusat Perlindungan Wanita dan Remaja (PPWR).

Pengasas Pondok Hijrah Muslimah Malaysia (MUM), Wan Asshima Kamaruddin berkata, pihak yang membina kuil memberi alasan sudah lama menjaga tanah yang terbiar kosong itu walaupun pihak Yayasan Kubra tidak pernah menyuruh mereka menjaga tanah berkenaan.

Berikutan pencerobohan itu, Wan Asshima bersama-sama dengan Jawatankuasa Yayasan Kubra telah sepakat untuk menghantar notis kepada pihak kuil.

“Pihak kuil telah diberi tempoh 14 hari untuk mengosongkan tanah tersebut. Jika gagal, tindakan selanjutnya akan diambil.

“Akan tetapi, banner kenyataan dan juga notis arahan pemindahan yang diletakkan di sana telah dicabut oleh pihak kuil yang ingkar arahan.

“Bukan sahaja notis tersebut dibuang tetapi pihak kuil membuat pula kerja-kerja penambahan konkrit di tepi binaan kuil tersebut,” katanya.

Kesal dengan keadaan itu, Ketua Media Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) menyifatkan pencerobohan tanah milik persendirian itu sebagai tindakan melampau yang seolah-olah cuba menguji ‘ketegasan’ pihak berkuasa.

“Perkara ini bukan baharu. Mereka masuk ceroboh dulu, kemudian minta empunya tanah bayar ganti rugi atau pampasan pindah.

“Amalan ini seperti sudah menjadi satu sistem perundangan baru yang diada-adakan oleh mereka ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya.

Beliau memaklumkan, meskipun pencerobohan itu telah diketahui oleh Yayasan Kubra tetapi atas dasar keamanan, ia tidak dihebahkan untuk mengelak perkara yang tidak sepatutnya berlaku.

“Selama ini Yayasan Kubra diam sebab tidak mahu peristiwa seperti di Kuil Subang Jaya berulang sehingga meragut nyawa seorang anggota bomba yang tidak bersalah hingga menjadi isu kontroversi iaitu kes pembunuhan ke atas Allahyarham Adib. 

“Sebenarnya penceroboh memang tiada hak langsung untuk mendirikan kuil dan tiada hak juga jika mahu mempertahankannya kerana tanah itu adalah milik Yayasan Kubra sebelum kaum ini datang dan mendirikan kuil mereka,” katanya.

Sementara itu, turut mengulas isu tersebut, Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Azib Asmangi mempersoalkan bagaimana perkara sebegini boleh berterusan berlaku.

“Apabila tindakan diambil, diangkat isu oleh media liberal menjadi lebih panas. Apabila dah jadi kes seperti Allahyarham Adib, siapa yang ingin bertanggungjawab?,” soalnya.

Justeru, beliau menasihati rakan-rakan beragama Hindu terutamanya agamawan mereka, supaya bersikap lebih sensitif terhadap isu sebegini. 

“Negara ini negara umat Islam, dalam masyarakat berbilang kaum. Hormatilah keluhuran Perlembagaan. Jangan ikut kehendak masing-masing sahaja,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button