Berita Utama

Parti Melayu masih belum berubah, saling tikam-menikam

Tiba masa umat Islam berubah dalam memilih pemimpin setempat

BANGI, 30 Safar 1443H, Khamis – Dakwaan Datuk Seri Idris Haron bahawa terdapat pemimpin UMNO di Melaka membolot projek ekonomi dan menipu kerajaan Persekutuan berkaitan royalti pasir, membukti parti Melayu sedia ada masih belum berubah malah saling tikam-menikam sesama sendiri.

Demikian kata Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Mohd Nor Izzat Johari.

Beliau menjelaskan, bukan niatnya untuk menyentuh isu politik namun hampir setiap masa berita berkaitan pergolakan politik akan menyebabkan rakyat jemu.

“Bukan mahu mengajak rakyat bergelumang dengan kepartian tetapi inilah tiba masa umat Islam perlu berubah dan mencari alternatif dalam memilih pemimpin setempat,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Pendedahan dan pengakuan serta tindakan ahli politik menarik kepercayaan kepada ketua pemimpin masing-masing merupakan pengajaran kepada rakyat untuk memilih pemimpin yang berwibawa pada masa hadapan.

“Masihkah kita ingat, PRU15 adalah masa untuk lakukan perubahan secara total.

“Semestinya salah satu sifat pemimpin berwibawa adalah seorang yang berprinsip, tidak malu nyatakan menyokong BMF secara terbuka, tidak gentar menolak pengiktirafan UEC, tidak gentar menegakkan sekolah kebangsaan dan tidak takut menolak sekolah haram vernakular serta berani mempertahankan tanah rizab Melayu.

“Ini adalah sebahagian agenda penting. Anda pilih, anda putuskan dan anda tegaskan,” katanya.

Terdahulu, Idris yang merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang mendedahkan, beliau terpaksa menarik sokongan terhadap kerajaan negeri Melaka untuk menyelamatkan UMNO daripada ditolak oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button