Berita UtamaDunia

Pejabat passport Afghanistan diserbu walau operasi bermula Sabtu

Sanggup panjat penghadang konkrit untuk serah sendiri kepada pegawai

 

KABUL, 30 Safar 1443H, Khamis – Ribuan rakyat Afghanistan memenuhi pejabat pengeluaran passport, sehari selepas Taliban mengumumkan akan memulakan operasi perkhidmatan berkenaan.

Pegawai memaklumkan, operasi jabatan pengeluaran passport akan bermula sepenuhnya pada Sabtu, namun orang ramai mula memenuhi pekarangan pejabat berkenaan sejak Rabu.

Malah, penghalang batu konkrit yang diletakkan di hadapan pejabat turut dipanjat orang ramai yang mahu menyerahkan sendiri borang permohonan mereka.

Operasi perkhidmatan berkenaan akan dibuka semula selepas tertangguh sejak bulan lepas selepas Taliban mengambil alih pentadbiran negara.

Penutupan operasi menyebabkan ramai yang terkandas untuk meninggalkan negara itu.

Seorang penduduk tempatan, Mahir Rasooli menyuarakan kekecewaan apabila keinginan untuk membuat passport tidak dapat dipenuhi berikutan berdepan pelbagai masalah.

“Saya datang ke sini untuk buat semula passport tetapi seperti anda lihat banyak masalah berlaku menyebabkan urusan tidak dapat diselesaikan,” ujarnya seperti dipetik Reuters.

Bagaimanapun jurucakap Taliban yang menguruskan jabatan yang membuat pengeluaran passport meminta orang ramai pulang semula dan kembali setelah operasi dimulakan, Sabtu ini.

Kira-kira setengah juta rakyat Afghanistan kehilangan tempat tinggal dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjangkakan keadaan semakin bertambah kritikal sekiranya perkhidmatan kesihatan, sekolah dan keadaan ekonomi tidak diurus dengan baik.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Ahmad Shakib Sidiqi berkongsi perasaan sama apabila proses untuk mendapatkan passport tidak dapat dilakukan.

“Saya datang ke sini untuk terima passport tetapi kini saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya yang kecewa dengan pergolakan berlaku sehingga menyebabkan keadaan ekonomi tidak stabil. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button